
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Semua pihak diingatkan agar tidak memandang ringan soal keselamatan negara susulan ketegangan global yang semakin memuncak, khususnya konflik di Asia Barat.
- Perdana Menteri arah Ketua Polis Negara panggil semua pimpinan PDRM untuk merangka strategi baharu bagi memastikan keselamatan negara terkawal.
- Kerajaan adakan mesyuarat khas MKN dan MTEN untuk memantau implikasi keselamatan dan ekonomi.
- Kerajaan akan memperkukuh kebajikan anggota PDRM termasuk naik taraf perumahan serta tingkatkan latihan dan profesionalisme melalui JPA.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa berwaspada dan tidak leka dengan tahap keamanan domestik.
Menurut beliau, perkembangan global ketika ini menunjukkan tanda-tanda tekanan yang semakin meningkat, justeru tahap kesiapsiagaan keselamatan negara perlu diperkukuh.
“Jangan anggap ringan isu keselamatan negara. Kesalahan paling besar ialah apabila kita terlalu selesa sehingga cuai dalam menjamin keamanan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.
“Saya minta Ketua Polis Negara untuk memanggil semua pimpinan PDRM bagi meletakkan beberapa strategi baharu untuk memastikan keselamatan kita, dan negara kita terkawal,” kata beliau.
Dalam masa sama, kerajaan telah mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau implikasi keselamatan dan ekonomi susulan ketegangan global.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa walaupun Malaysia kekal sebagai antara negara paling aman, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.
Sementara itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus memperkukuh kebajikan anggota PDRM termasuk menaik taraf perumahan dan fasiliti sedia ada.
Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut diarahkan meningkatkan program latihan bagi memperkukuh profesionalisme anggota dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.