
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia dan Qatar sependapat ketegangan di Asia Barat perlu diredakan melalui dialog dan diplomasi demi kestabilan serantau.
- Perbualan telefon antara PM Anwar dan PM Qatar membincangkan situasi keselamatan di Asia Barat yang semakin meruncing.
- Malaysia menyokong kedaulatan Qatar dan mengecam serangan terhadap kemudahan LNG Ras Laffan yang kritikal.
- Ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter; Malaysia zahir solidariti dan hargai bantuan Qatar kepada rakyat Malaysia.
Perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani yang turut menyentuh situasi keselamatan di rantau itu yang semakin meruncing.
“Malaysia menegaskan sokongan terhadap kedaulatan Qatar serta mengecam serangan ke atas kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Ras Laffan yang kritikal kepada ekonomi global.
“Moga keamanan di Asia Barat dapat segera dipulihkan, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Qatar susulan tragedi nahas helikopter yang meragut nyawa anggota Angkatan Tentera Qatar serta warga Turkiye.
“Malaysia turut menzahirkan solidariti kepada keluarga mangsa dan menghargai bantuan yang diberikan Qatar kepada rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya.