Kawalan sempadan maritim Kudat dipertingkat menerusi teknologi AI

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Pengawasan keselamatan di sektor Kudat, Sabah akan dipertingkat menerusi perolehan radar dan kamera jarak jauh berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kawalan sempadan maritim negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perolehan aset dirancang di bawah Pelan Pelaksanaan Ketiga RMK13 pada 2028 bagi meningkatkan keupayaan pengawasan di Kudat.
  • ESSCOM mengenal pasti Kudat, Pulau Banggi dan Pulau Balambangan sebagai kawasan berisiko; memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.
  • Kes tangkapan PATI meningkat dan rekod penguatkuasaan Polis Marin serta APMM menunjukkan peningkatan aktiviti rentas sempadan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perolehan aset berkenaan dirancang di bawah Pelan Pelaksanaan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 2028, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan pengawasan di kawasan itu.

Beliau berkata, langkah penguatkuasaan turut dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin melalui laluan tidak sah.

“Berdasarkan penilaian keselamatan semasa oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), sektor perairan Kudat, Pulau Banggi dan Pulau Balambangan yang berhadapan dengan Pulau Balabac, Filipina, dikenal pasti sebagai antara kawasan yang memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.

“Ini berikutan kedudukan geografi, keluasan perairan serta kewujudan laluan laut yang berpotensi digunakan bagi kemasukan tanpa izin dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, berhubung keperluan mendesak memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan maritim Sabah-Filipina, khususnya di perairan Balabac, Palawan, serta mengekang kemasukan warga asing melalui laluan tidak sah.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata, berdasarkan statistik ESSCOM, tangkapan PATI di daerah Kudat meningkat 79.4 peratus kepada 122 orang pada 2025, berbanding 68 orang pada 2024.

Sementara itu, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 merekodkan enam kes membabitkan 23 tangkapan pada 2025, berbanding empat kes pada tahun sebelumnya.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pula mencatatkan 30 kes membabitkan 91 tangkapan warga asing dari 2025 hingga September 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.