
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia menzahirkan hasrat agar gencatan senjata menyeluruh dan berkekalan dilaksanakan segera bagi meredakan ketegangan di Asia Barat susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
- Perbualan telefon antara Mohamad Hasan dan Dr Seyed Abbas Araghchi membincangkan kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz demi kestabilan ekonomi dan tenaga global.
- Beliau menegaskan dialog dan pendekatan diplomasi penting untuk meredakan ketegangan serta menghentikan konflik yang sedang berlaku.
- Malaysia menyokong usaha mediasi Oman dan berharap rundingan diplomatik diteruskan supaya perang dapat dihentikan segera.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu disampaikan dalam perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Iran, Dr Seyed Abbas Araghchi.
“Alhamdulillah dapat menghubungi rakan sejawat dari Iran Dr Seyed Abbas Araghchi pada Selasa (24 Mac) bagi membincangkan perkembangan terkini di rantau Asia Barat, termasuk kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz demi kestabilan ekonomi dan tenaga global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau turut menegaskan, dialog serta pendekatan diplomasi amat penting dalam usaha meredakan ketegangan dan menghentikan konflik yang sedang berlaku.
“Malaysia akan terus berperanan aktif dalam usaha-usaha diplomasi bagi mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Mohamad turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Oman, Sayyid Badr bin Hamad Al Busaid berhubung situasi di negara Teluk dan kebimbangan Malaysia akibat serangan berterusan yang dilakukan oleh regim Zionis dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
“Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap usaha mediasi Oman dan berharap rundingan diplomatik dapat diteruskan agar perang dapat dihentikan serta-merta,” katanya.