PM beri amaran, jangan campur tangan urusan PDRM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL)/Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Tiada campur tangan mana-mana pihak berpengaruh dibenarkan dalam sebarang tindakan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya melibatkan sindiket jenayah berskala besar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri memuji keberanian PDRM bertindak agresif menumpaskan sindiket jenayah besar dan perasuah bermaharajalela.
  • Kerajaan di bawah Malaysia MADANI komited melaksanakan undang-undang secara adil tanpa memihak kepada pihak berkepentingan.
  • Beliau menggesa PDRM memperkukuh profesionalisme dan integriti kerana keamanan asas kepada reformasi ekonomi dan pembangunan negara.

Demikian amaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata, kecenderungan pihak tertentu melindungi individu atau kumpulan berpengaruh hanya menyukarkan tugas pasukan keselamatan dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Jangan ada campur tangan menghalang tindakan oleh PDRM dan badan penguat kuasa. Kadang-kadang yang melindungi itu orang-orang berpengaruh. Ini menyukarkan kerja PDRM.

“Saya memberikan satu arahan yang sangat jelas, kalau benar kita mahu bertindak, kita juga memberikan nasihat kepada semua yang lain agar jangan sesekali menghalang,” kata beliau ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan terhadap keberanian PDRM yang kini lebih agresif menumpaskan sindiket jenayah dan perasuah besar yang sebelum ini sukar disentuh.

“Syukur kerana saya lihat ada ketegasan dan keberanian bertindak, bukan sahaja kepada perasuah kecil tetapi perasuah besar yang bermaharajalela selama puluhan tahun tetapi tidak pernah berani disentuh.

“Sindiket-sindiket haram yang besar ini telah lama terpendam dalam sistem kita dan saya ucap tahniah kerana (PDRM) berjaya mematahkannya hasil profesionalisme, tekad, dan keberanian,” kata beliau.

Datuk Seri Anwar berkata, di bawah kerangka Malaysia MADANI, kerajaan komited memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil tanpa memihak kepada mana-mana pihak berkepentingan.

Tambahnya, keamanan yang dikecapi hasil pengorbanan pasukan keselamatan menjadi asas penting kepada usaha kerajaan memacu reformasi ekonomi dan pembangunan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa warga PDRM terus memperkukuh profesionalisme dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab.