
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Belanjawan 2027 dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan berimpak tinggi, selain meningkatkan keupayaan syarikat tempatan menyertai rantaian nilai global.
- Agenda Aspirasi Pelaburan Nasional menekankan penghubungan pelaburan bernilai tinggi dengan syarikat tempatan untuk meningkatkan keupayaan industri dan pekerjaan berpendapatan tinggi.
- Belanjawan 2027 memperuntuk RM25 bilion melalui GLIC GEAR-uP, termasuk RM1.2 bilion untuk semikonduktor, serta RM5 bilion bagi bantuan PKS.
- Peruntukan bagi modal insan dan tenaga serta insentif hijau: RM8 bilion TVET, RM3 bilion HRD Corp, lanjutan cukai teknologi hijau dan RM17 bilion infrastruktur.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memaklumkan, tumpuan kepada pelaburan berkualiti serta mampan turut memberi keyakinan jangka panjang kepada pelabur serta memperkukuh ekosistem industri negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, agenda Aspirasi Pelaburan Nasional memberi penekanan kepada usaha menghubungkan pelaburan bernilai tinggi dengan syarikat tempatan.
“Langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan industri, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta memastikan manfaat ekonomi dinikmati secara lebih meluas.
“Antara inisiatif utama Belanjawan 2027 adalah pelaburan RM25 bilion menerusi program GLIC GEAR-uP, termasuk RM1.2 bilion bagi memperkukuh rantaian industri semikonduktor.
“Selain itu, tambahan RM5 bilion menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dijangka meningkatkan daya saing syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global,”katanya.
Beliau turut mengakui dalam pembangunan modal insan, peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta RM3 bilion menerusi HRD Corp akan menyokong keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sementara itu, pelanjutan Galakan Cukai Teknologi Hijau sehingga 2030 dan peruntukan RM17 bilion bagi infrastruktur grid serta tenaga dijangka meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mampan.
MIDA turut komited mempercepat pelaksanaan projek pelaburan yang diluluskan bagi memastikan manfaat terus dinikmati industri tempatan dan rakyat.