MATRADE sasar jualan eksport RM12 bilion

Keupayaan syarikat tempatan khususnya PMKS terus diperkukuh untuk menembusi pasaran antarabangsa 

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan eksport bernilai RM12 bilion menerusi 200 aktiviti pembangunan pengeksport dan promosi eksport sepanjang tahun 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM60 juta melalui Dana Pengukuhan Eksport dan Pempelbagaian Pasaran disediakan dalam Belanjawan.
  • Peruntukan dijangka memanfaatkan lebih 3,500 syarikat, termasuk 60 syarikat Bumiputera dari Sabah dan Sarawak.
  • MATRADE tumpu tingkatkan penyertaan PMKS, mempelbagaikan eksport melalui MADANI, sokongan pembiayaan RM1 bilion, inisiatif JOM MALAYSIA dan insentif cukai.

Sasaran disokong peruntukan RM60 juta menerusi Dana Pengukuhan Eksport dan Pempelbagaian Pasaran yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.

Peruntukan berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 3,500 syarikat, termasuk 60 syarikat Bumiputera dari seluruh negara merangkumi Sabah dan Sarawak.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin menerusi peruntukan itu, keupayaan syarikat tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus diperkukuh untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Tumpuan strategik MATRADE kini adalah meningkatkan penyertaan PMKS dalam pasaran eksport negara supaya pertumbuhan perdagangan turut memberi manfaat lebih meluas kepada ekonomi rakyat.

“Setakat September 2026, sebanyak 10,300 PMKS telah berdaftar dengan MATRADE.

“Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan negara mencecah RM2.5 trilion, dengan eksport meningkat 31.2 peratus kepada RM1.36 trilion,”kataya.

Bagi memperluas peluang pasaran, MATRADE sedia meneruskan strategi mempelbagaikan eksport termasuk dalam sektor halal, perkhidmatan dan pendigitalan menerusi MADANI Digital Trade Platform.

Selain itu, MATRADE turut menyambut baik pembiayaan eksport RM1 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad serta peruntukan RM10 juta bagi inisiatif JOM MALAYSIA untuk membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke pasaran luar.

Pelanjutan galakan cukai bagi pameran perdagangan antarabangsa sehingga Tahun Taksiran 2030 juga dijangka menggalakkan lebih banyak PMKS menyertai aktiviti promosi eksport global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.