
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Cuaca panas di Malaysia dilihat memberi kesan kepada kehidupan harian orang awam, khususnya dari segi penggunaan elektrik dan keselesaan.
- Penggunaan penghawa dingin meningkat, kini kerap digunakan pada waktu siang selain malam.
- Bil elektrik meningkat kerana penggunaan penghawa dingin dan kipas lebih kerap.
- Pengguna cuba mengimbangi keselesaan dan penjimatan dengan mengawal suhu serta tempoh penggunaan penghawa dingin.
- Permintaan penghawa dingin meningkat; ramai pelanggan memilih model inverter berbanding non-inverter.
Tinjauan mendapati ramai pengguna berdepan peningkatan bil elektrik susulan penggunaan penghawa dingin yang lebih kerap.
Salah seorang pengguna, Shari Haji Ali berkata, penggunaan penghawa dingin kini meningkat terutama pada waktu siang.
“Kalau sebelum ini penggunaan penghawa dingin lebih kepada waktu malam, tetapi sekarang siang pun terpaksa digunakan. Ini menyebabkan bil elektrik meningkat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Zainuddin Mohd Ghazali memaklumkan, keadaan cuaca panas menyebabkan beliau kerap mendapatkan persekitaran yang lebih sejuk di luar rumah.
“Penggunaan elektrik saya memang meningkat kerana cuaca sangat panas. Saya terpaksa menggunakan kipas sepanjang masa, selain lebih kerap mengambil minuman sejuk.
“Untuk mendapatkan persekitaran lebih selesa, saya juga kerap ke pusat beli-belah yang berhawa dingin,” menurutnya.
Keadaan cuaca panas turut mendorong pengguna mengimbangi antara keselesaan dan penjimatan dalam penggunaan penghawa dingin.
“Kami tetap menggunakan penghawa dingin, tetapi mengawal suhu dan tempoh penggunaan supaya bil elektrik tidak meningkat terlalu tinggi.
“Pada permulaan penghawa dingin akan dibuka pada suhu tinggi dan setelah beberapa jam suhu akan saya dinaikkan” kata Farah Shamimi.
Dalam pada itu, jualan barangan elektrik, khususnya penghawa dingin turut meningkat susulan keadaan cuaca semasa.
Seorang pengusaha kedai barangan elektrik, Hans Teoh memaklumkan, peningkatan permintaan terhadap produk berkenaan telah mula direkodkan sejak Februari lalu.
“Permintaan terhadap penghawa dingin dan kipas memang meningkat dengan ramai pelanggan memilih model inverter berbanding non-inverter”, menurutnya.
Keadaan cuaca panas ini sering berlaku menjelang Monsun Barat Daya, yang biasanya membawa cuaca lebih kering dan suhu lebih tinggi di kebanyakan kawasan.