
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Pelaburan pusat data berskala besar dan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2027, ketika eksport berdepan ketidaktentuan global.
- Pelaburan swasta dijangka terus berkembang pesat, menyokong momentum pertumbuhan ekonomi 2027.
- Pelaburan berpotensi mewujudkan kapasiti ekonomi baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport.
- Sasaran pertumbuhan 4.6 hingga 5.2 peratus bagi 2027 dilihat realistik disokong oleh pelaburan dan penggunaan domestik.
- Penggunaan swasta disokong oleh pertumbuhan pendapatan, bantuan STR dan SARA, pelepasan cukai serta kenaikan gaji minimum.
Ketua Penyelidik MBSB Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, pelaburan swasta dijangka terus berkembang pesat, sekali gus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara pada tahun depan.
Katanya, pelaburan berkenaan berpotensi mewujudkan kapasiti ekonomi baharu ketika Malaysia dijangka mengurangkan kebergantungan eksport sebagai pemacu pertumbuhan susulan ketidaktentuan ekonomi global.
“Pelaburan dalam pusat data berskala besar, infrastruktur AI dan sebagainya, mampu memacu pembentukan kapasiti baharu yang mungkin akan boleh menyebabkan perkembangan ekonomi dapat dicapai untuk tahun hadapan,” katanya dalam program Biz Malaysia, hari ini.
Beliau berkata sasaran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4.6 peratus hingga 5.2 peratus pada 2027 dilihat realistik, disokong oleh pelaburan swasta dan penggunaan domestik yang dijangka terus berdaya tahan.
Menurutnya, ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, manakala MBSB Research mengunjurkan pertumbuhan 5.1 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
Bagaimanapun, beliau berkata eksport yang menjadi antara pemacu pertumbuhan tahun ini mungkin kehilangan sebahagian momentum pada 2027, sekali gus meningkatkan peranan pelaburan domestik dalam menyokong pengembangan ekonomi.
Selain pelaburan, penggunaan swasta dijangka terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan, bantuan kerajaan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pelepasan cukai serta kenaikan gaji minimum.