
KEMAMAN, 13 Mac – Polis membuka siasatan berhubung kebakaran melibatkan sebuah tapak jualan bunga api di Kampung Gong Limau, di sini awal pagi tadi.
- Peniaga mempunyai permit sah untuk penjualan bunga api.
- Peniaga tidak berada di lokasi semasa kebakaran; keluar membeli makanan untuk bersahur.
- Kebakaran menyebabkan letupan dan percikan bunga api, berlarutan hampir setengah jam.
- Tiada kecederaan atau kemusnahan harta lain; permit boleh ditarik jika syarat dilanggar.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, tindakan akan diambil terhadap peniaga terbabit sekiranya siasatan mendapati berlaku unsur kecuaian dalam kejadian berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati peniaga berkenaan mempunyai permit sah untuk menjalankan aktiviti penjualan bunga api.
“Ketika kejadian peniaga terbabit dilaporkan tiada di lokasi kerana keluar membeli makanan untuk bersahur di sebuah kedai makan berhampiran.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan sama ada terdapat pelanggaran syarat yang ditetapkan dalam permit penjualan. Tindakan menarik semula permit boleh diambil sekiranya didapati peniaga melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya lagi, polis juga tidak menolak kemungkinan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan jika terdapat unsur kecuaian yang membawa kepada kejadian kebakaran tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, penduduk Kampung Gong Limau gempar apabila sebuah khemah menjual bunga api musnah dalam kebakaran.
Kebakaran itu menyebabkan letupan serta percikan bunga api di sekitar lokasi kejadian yang berlarutan hampir setengah jam.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan tiada kemusnahan harta benda lain dalam kejadian berkenaan.