Kadar pengangguran Januari kekal pada 2.9 peratus – DOSM

Foto fail/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Mac – Pasaran buruh negara kekal stabil, merekodkan kadar pengangguran 2.9 peratus pada Januari 2026, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tenaga buruh meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.28 juta, mencerminkan momentum positif pasaran buruh.
  • Kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus, menunjukkan lebih banyak penyertaan dalam pasaran kerja.
  • Peluang pekerjaan meningkat dalam subsektor teknologi tinggi dan perkhidmatan, didorong automasi, AI, digital dan pelaburan asing.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara pada Januari 2026 terus berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil serta kadar pengangguran yang kekal rendah.

“Oleh itu, tenaga buruh terus menunjukkan momentum positif pada bulan berkenaan, meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.28 juta orang berbanding 17.27 juta orang.

“Selaras dengan itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus daripada 70.8 peratus, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada bulan berkenaan dengan peningkatan marginal 0.04 peratus kepada 16.77 juta orang daripada 16.76 juta orang pada Dis 2025.

Pada masa yang sama, bilangan penganggur merekodkan sedikit pertambahan, iaitu sebanyak 0.3 peratus, mencecah 509,600 orang.

Untuk beberapa bulan seterusnya, pasaran buruh Malaysia dijangka kekal utuh dengan kadar pengangguran yang terus rendah, mencerminkan kedudukan tenaga buruh yang kukuh.

Penyertaan tenaga buruh juga diramal kekal stabil berikutan pemulihan seimbang sektor perkhidmatan, pelancongan dan eksport teknologi.

”Peluang pekerjaan juga dilihat akan meningkat dalam subsektor teknologi tinggi dan perkhidmatan, didorong oleh automasi, AI (kecerdasan buatan), digital dan pelaburan asing.

“Meskipun terdapat ketidaktentuan global, asas ekonomi domestik yang kukuh dan permintaan dan penawaran buruh yang stabil dijangka terus menyokong pertumbuhan pasaran buruh negara,” katanya.