
TAIPING, 9 Mei – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menegaskan tiada sebarang unsur komersial melibatkan urusan penempatan tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) di Tennoji Zoo Osaka (TZO), Jepun.
- Perjanjian kerjasama antara dua zoo dan bukannya urusan perniagaan; penggunaan istilah B2B dianggap tidak tepat.
- Program mematuhi Garis Panduan Standard Zoo Malaysia dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
- Lawatan ke luar negara pada Oktober 2022 menilai kemudahan, dengan permit dan dokumentasi eksport diluluskan.
- Kebajikan haiwan diutamakan; ZTNS terus berhubung dan MPT sedia bekerjasama dengan SPRM jika perlu.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, perjanjian itu merupakan kerjasama antara dua zoo dan bukannya urusan perniagaan seperti didakwa segelintir pihak.
“Penggunaan istilah business to business (B2B) juga tidak tepat dan bercanggah dengan semangat kerjasama yang dimeterai antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan program berkenaan dengan unsur komersial serta pembayaran tertentu kepada Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) dan MPT.
Beliau berkata, program kerjasama antarabangsa itu dilaksanakan mengikut Garis Panduan Standard Zoo Malaysia di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), selain mematuhi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Sebelum penghantaran gajah dilakukan, pihak MPT, ZTNS dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah mengadakan lawatan ke Osaka pada Oktober 2022 bagi menilai kesesuaian kemudahan serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan pihak TZO,” katanya.
Mohamed Akmal berkata, semua dokumentasi berkaitan termasuk permit khas dan permohonan eksport turut mendapat kelulusan sewajarnya sebelum penghantaran dibuat.
Beliau menegaskan aspek kebajikan dan kesejahteraan haiwan sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan program itu.
Katanya, pihak ZTNS akan terus berhubung dengan TZO dan agensi berkaitan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan ketiga-tiga gajah berkenaan.
Dalam masa sama, beliau berkata MPT bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut.
Tiga gajah berkenaan kini ditempatkan di TZO menerusi perjanjian kerjasama antarabangsa selama 25 tahun antara TZO dan ZTNS yang diwakili MPT.