
JOHOR BAHRU, 9 Mei – Malaysia berpotensi menjadi pusat pembiakan dan latihan anjing kepakaran di rantau ASEAN sekali gus menjimatkan kos latihan serta import anjing pengesan (K9).
- JBPM di Jalan Klang Lama berjaya membiakkan anak anjing K9 pertama negara
- Seekor anjing K9 terlatih diimport dari Birmingham, UK menelan kos hampir RM150,000 seekor
- Latih dan pembiakan tempatan menjimatkan kos lebih 82 peratus berbanding import
- JBPM miliki 34 anjing pengesan, masih memerlukan 56 lagi; 16 K9 baharu dibeli 2025, latihan di UK lebih dua bulan
Perkembangan positif itu susulan kejayaan Pusat Latihan Operasi Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur membiakkan baka anak anjing pertama di negara ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, sebelum ini seekor anjing K9 terlatih yang diimport dari Birmingham, United Kingdom (UK) menelan kos hampir RM150,000 seekor.
Beliau berkata, Malaysia kini mampu melatih serta membiakkan sendiri anjing kepakaran tempatan sekali gus menjimatkan kos melebihi 82 peratus.
Katanya, anak anjing jantan baka Labrador diberi nama “Brave” di bawah seliaan Pegawai Bomba N. Kavin Raj itu dilahirkan pada 18 Mac lalu dan menjadi anak anjing pertama lahir di pusat berkenaan.
“Ketika ini kita mempunyai pelatih dan pengendali terlatih seperti Kalvin Raj dan Nelson Karupak yang berjaya melatih anjing kepakaran tempatan.
“Kita bukan sahaja dapat melahirkan anjing tempatan, malah berupaya menjadikan negara ini sebagai pusat pembiakan anjing kepakaran K9
“Wawasan saya satu hari nanti kita boleh eksport balik ke UK dan boleh menjadi pusat pembiakan di ASEAN kita boleh jual kepada Singapura, Thailand, dan Filipina,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Bomba Sedunia di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Menurut Kor Ming, Brave kini berada dalam keadaan sihat, aktif serta mampu menyalak dan menyusu sendiri tanpa bantuan.
Ketika ini, JBPM memiliki 34 ekor anjing pengesan namun masih memerlukan 56 ekor lagi bagi mencapai kapasiti operasi optimum.
Pada tahun 2025, JBPM membeli 16 ekor anjing K9 baharu dari UK untuk menggantikan anjing lama.
16 ekor anjing tersebut perlu menjalani latihan di UK selama lebih dua bulan sebelum dihantar ke Malaysia.