Tiada cukai jalan dan insurans, 188 kenderaan mewah disita JPJ

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu/RTM

SEREMBAN, 9 Mei – Sebanyak 188 kenderaan mewah telah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sejak tahun lalu atas pelbagai kesalahan jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalahan utama dikesan ialah cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
  • Kebanyakan pemilik yang dikenakan tindakan ialah usahawan dan profesional.
  • JPJ keluarkan 46,384 notis selepas pemeriksaan 137,917 kenderaan menerusi Op Khas Pengarah.
  • Lelongan awam dalam talian JPJvBID sedang berlangsung sehingga 18 Mei, 71 kenderaan ditawarkan.

Daripada jumlah itu, 45 kenderaan disita bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu, antara kesalahan utama dikesan membabitkan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Beliau berkata, kebanyakan pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan terdiri daripada golongan usahawan dan profesional.

“Kesedaran di bahagian advokasi kita sentiasa menyarankan kepentingan cukai jalan dan insurans sebab ia melibatkan bukan satu pihak saja, ia melibatkan pelbagai pihak yang menggunakan kemudahan jalan raya. Sekiranya berlaku apa-apa, kemudahan insurans akan bantu kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media di Pejabat JPJ Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Dalam tempoh sama, JPJ Negeri Sembilan turut mengeluarkan sebanyak 46,384 notis pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 137,917 kenderaan menerusi Op Khas Pengarah yang dijalankan dari Januari hingga 30 April lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 18,874 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau, sebanyak 40,501 motosikal turut diperiksa dan 5,273 daripadanya diambil tindakan.

“Kesalahan melibatkan pelesenan kenderaan mencatat jumlah tertinggi iaitu 15,881 kes, diikuti kesalahan teknikal sebanyak 13,577 kes serta pelesenan pemandu sebanyak 8,717 kes,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 479 kenderaan turut disita membabitkan 177 motosikal, 146 kereta dan 156 lain-lain kenderaan.

Dalam perkembangan lain, JPJ Negeri Sembilan turut memaklumkan lelongan awam secara dalam talian menerusi portal JPJvBID sedang berlangsung dan dibuka kepada orang ramai sehingga 18 Mei ini.

Sebanyak 71 kenderaan ditawarkan dalam lelongan tersebut melibatkan motosikal pelbagai model serta lain-lain jenis kenderaan.