Menyubur budaya inovasi dalam jiwa pendidik

Graduan UPSI/Foto Instagram UPSI

SAUDARA PENGARANG,

RINGKASAN BERITA AI
  • Guru perlu melepasi peranan tradisional, menjadi fasilitator kreatif yang mengintegrasi inovasi dalam PdP.
  • Kolaborasi antara sekolah dan universiti penting untuk menyuburkan budaya inovasi dalam kalangan pendidik.
  • Pendedahan praktikal seperti lawatan dan perkongsian hasil inovasi memberi inspirasi dan idea boleh dikomersialkan kepada guru.
  • Inovasi bermula kecil; guru perlu berterusan mencuba, kreatif, dan diberi sokongan untuk menjadi pemacu transformasi pendidikan.

Peningkatan minat terhadap kursus pendidikan sejak kebelakangan ini merupakan satu perkembangan yang amat positif. Ia mencerminkan bahawa profesion keguruan terus menjadi pilihan utama dalam kalangan generasi muda yang ingin menyumbang kepada pembangunan negara melalui bidang pendidikan.

Data kebolehpasaran graduan pendidikan turut menunjukkan trend yang menggalakkan.

Sebagai contoh, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sekitar 97 peratus, satu petunjuk jelas bahawa bidang ini kekal relevan dan diperlukan dalam pasaran kerja semasa.

Namun begitu, di sebalik angka yang memberangsangkan ini, aspek yang lebih penting adalah bagaimana kita dapat memastikan guru yang dilahirkan bukan sahaja mencukupi dari segi bilangan, tetapi berkualiti dan berdaya inovasi.

Dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah, guru hari ini perlu melangkaui peranan tradisional sebagai penyampai ilmu semata-mata. Mereka perlu menjadi fasilitator pembelajaran yang kreatif, mampu mencetuskan minat pelajar serta mengintegrasikan elemen inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Sehubungan itu, kolaborasi antara sekolah dan institusi pengajian tinggi memainkan peranan yang amat penting dalam menyuburkan budaya inovasi dalam kalangan pendidik.

Lawatan penanda aras oleh Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 ke Fakulti Sains Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini merupakan contoh terbaik bagaimana pendedahan secara langsung dapat memberi inspirasi baharu kepada guru.

Melalui lawatan tersebut, para peserta didedahkan dengan pelbagai inovasi pendidikan yang dibangunkan oleh pensyarah dan pelajar universiti.

Kit pembelajaran inovatif serta produk yang telah dikomersialkan membuka mata para guru tentang potensi besar yang boleh dicapai apabila idea kreatif diterjemahkan kepada bentuk yang praktikal.

Lebih bermakna, perkongsian pengalaman daripada pelajar yang berjaya dalam pertandingan inovasi menunjukkan bahawa inovasi tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar.

Ia boleh bermula daripada pemerhatian kecil dalam bilik darjah, yang kemudiannya dikembangkan melalui kreativiti, usaha berterusan dan keyakinan untuk mencuba.

Pendedahan seperti ini memberi mesej penting bahawa inovasi adalah satu budaya yang perlu disemai, bukan sekadar kemahiran yang dipelajari. Guru yang berinovasi akan sentiasa mencari jalan untuk menambah baik kaedah pengajaran, menjadikan pembelajaran lebih interaktif, serta memberi pengalaman bermakna kepada pelajar.

Justeru, usaha memperkukuh kolaborasi antara sekolah dan universiti perlu terus diperkasa sebagai platform perkongsian ilmu, idea dan amalan terbaik.

Interaksi seperti ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan guru, malah menyuntik semangat baharu untuk mereka terus berinovasi dalam kerjaya.

Akhirnya, menyuburkan budaya inovasi dalam jiwa pendidik adalah satu pelaburan jangka panjang dalam sistem pendidikan negara.

Apabila guru diberi ruang, inspirasi dan sokongan yang berterusan, mereka mampu menjadi pemacu utama kepada transformasi pendidikan yang lebih kreatif, dinamik dan berimpak tinggi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Noor Alhuda Madzlan
Felo, STEM Nurturing Centre
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Dr. Aisyah Mohamad Sharif
Penyelaras, STEM Nurturing Centre
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.