NIF galak pelaburan berimpak tinggi, sokong ekonomi negara

Foto hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Kerangka Insentif Baharu (NIF) yang diperkenalkan kerajaan membolehkan syarikat pelabur menikmati pengecualian atau elaun cukai sehingga 100 peratus dalam tempoh sehingga 15 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • NIF menyelaraskan kadar, jenis dan tempoh insentif berdasarkan penilaian komitmen pelabur serta pendekatan berasaskan hasil.
  • Mekanisme pematuhan dan penilaian diperkuat untuk memastikan komitmen pelabur dipenuhi.
  • Kriteria penilaian utama termasuk ekonomi kompleks, pekerjaan bernilai tinggi, penguatan rantaian nilai tempatan, pembangunan kluster, keterangkuman dan amalan ESG.
  • Pelaksanaan NIF bermula sektor perkilangan pada 1 Mac; sektor perkhidmatan dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata kadar dan jenis insentif ditentukan berdasarkan tahap komitmen dan pencapaian setiap syarikat dengan mekanisme pematuhan dan penilaian diperkuat untuk memastikan komitmen dipenuhi.

Jelasnya, NIF bertujuan memastikan setiap pelaburan yang diterima adalah berkualiti.

“Sebagai langkah transformasi, kerajaan memperkenalkan NIF, yang mana kadar, jenis dan tempoh insentif diselaraskan berdasarkan pendekatan berasaskan hasil melalui penilaian komitmen pelabur menerusi Aspirasi Pelaburan Negara dengan skor penilaian tertentu.

“Kriteria utama skor penilaian termasuk ekonomi kompleks, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pengukuhan rantaian nilai tempatan, pembangunan kluster baru dan sedia ada, peningkatan keterangkuman, serta amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya menjawab soalan Senator Azahar Hassan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menambah penyelarasan insentif cukai melalui NIF menyokong transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Pelaksanaan NIF bagi sektor perkilangan bermula pada 1 Mac lalu, manakala sektor perkhidmatan dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.