Ketegangan sempadan Afghanistan-Pakistan berlarutan, korban awam meningkat

Foto Reuters

ASADABAD, 28 April – Sekurang-kurangnya tujuh orang awam terbunuh dan 85 lagi cedera dalam serangan yang didakwa dilakukan tentera Pakistan di wilayah sempadan Afghanistan pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bedilan mortar dan roket mengenai kawasan perumahan serta sebuah universiti di Asadabad dan beberapa daerah lain.
  • Ketegangan sempadan berterusan sejak Februari walaupun gencatan senjata sementara dipersetujui pada Mac.
  • Korban awam terus meningkat; mangsa dan mayat dibawa dari kawasan sempadan dan Asadabad, menurut pihak berkuasa.

Pengarah Kesihatan Awam wilayah, Muzaffar Mukhlis berkata, semua mangsa yang cedera dan mayat-mayat berkenaan telah dibawa dari kawasan sempadan dan Asadabad.

“Kesemua mangsa adalah orang awam,” katanya.

Kerajaan Afghanistan memaklumkan bedilan mortar dan roket mengenai kawasan perumahan serta sebuah universiti di Asadabad, ibu kota wilayah Kunar, dan beberapa daerah lain.

Angka korban terbaharu itu meningkat daripada laporan awal empat maut dan 70 cedera yang diberikan oleh timbalan jurucakap kerajaan Afghanistan, Hamdullah Fitrat.

Insiden terbaharu ini berlaku susulan ketegangan berterusan di sempadan sejak Februari, walaupun gencatan senjata sementara dipersetujui pada Mac.

Namun, penduduk Afghanistan terus melaporkan insiden keganasan berskala kecil sejak itu.

“Kami berada dalam situasi buruk hampir dua bulan. Kadang-kadang pertempuran sengit, kadang-kadang tidak,” kata Mushtaq Wazir yang tinggal di wilayah sempadan Paktika.

Ratusan orang dilaporkan terbunuh sejak kedua-dua negara jiran itu terlibat dalam konflik pada akhir Februari, menurut angka Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).-AFP