
ST PETERSBURG, 28 April – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyalahkan Amerika Syarikat (AS) atas kegagalan rundingan damai Asia Barat ketika lawatan ke Rusia, dengan Presiden Vladimir Putin menyatakan sokongan Moscow untuk menamatkan konflik.
- Pendekatan AS dan tuntutan berlebihan menyebabkan rundingan gagal, menurut Araghchi.
- Trump membatalkan lawatan utusan AS tetapi mengajak Iran berunding; beliau kata pembatalan bukan petanda konflik kembali.
- Putin menjamin Rusia akan membantu kepentingan Iran dan mengekalkan hubungan strategik demi mencapai keamanan.
Araghchi berada di St Petersburg dalam rangka lawatan diplomatik, selepas mengunjungi Oman dan dua kali ke Pakistan selaku pengantara utama.
Islamabad sebelum ini menjadi tuan rumah satu-satunya pusingan rundingan AS-Iran yang gagal, dan lawatan Araghchi mencetuskan harapan rundingan baharu hujung minggu lalu, sebelum Presiden AS Donald Trump membatalkan lawatan utusannya, Steve Witkoff dan Jared Kushner.
“Pendekatan AS menyebabkan rundingan sebelum ini, gagal mencapai matlamat susulan tuntutan berlebihan,” kata Araghchi.
Trump pula berkata kepada Fox News bahawa Iran boleh menghubungi AS jika mahu rundingan, sambil menegaskan pembatalan itu bukan petanda kembalinya konflik.
Selepas pertemuan itu, Putin dan Araghchi menyuarakan komitmen terhadap hubungan strategik kedua-dua negara.
“Putin turut berjanji Rusia akan melakukan segala yang mampu demi kepentingan Iran, supaya keamanan dapat dicapai”, menurut laporan media negara.
Araghchi berkata perang dengan AS dan Israel telah menunjukkan “kekuatan sebenar Iran” serta kestabilan sistem pemerintahannya.-AFP