
SHAH ALAM, 8 MAC – Kerajaan Negeri Sabah telah memperuntukkan RM 11.7 juta bagi manfaat pelajar melalui Program Bantuan Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS/SUBFLY) bagi tahun 2025.
- GRS/SUBFLY beri subsidi RM600 kepada mahasiswa Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, melibatkan 19,505 pelajar.
- Inisiatif SENTOSA sediakan subsidi pengangkutan sekali beri RM300 untuk 22,649 pelajar dalam Sabah semasa musim perayaan.
- Bantuan negeri disokong program FLYSISWA persekutuan antara RM300 hingga RM400, menjadikan bantuan gabungan sekitar RM1,000, mencerminkan pendekatan bersepadu.
Program berkenaan memberi manfaat kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, setiap pelajar menerima subsidi tiket penerbangan sebanyak RM 600, melibatkan 19,505 pelajar IPT.
“Program Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan atau GRS/SUBFLY merupakan bantuan subsidi RM600 kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di luar negeri Sabah, termasuk di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.” jelas beliau.
Selain itu, kerajaan negeri Sabah turut memperuntukkan RM 6.79 juta melalui inisiatif Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) yang menyediakan subsidi pengangkutan dalam negeri.
Program ini memberi manfaat kepada 22,649 pelajar, dengan bantuan sekali beri sebanyak RM 300 bagi menampung kos perjalanan pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan ini turut disokong oleh kerajaan Persekutuan melalui program FLYSISWA yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun 2023.
Melalui FLYSISWA, pelajar menerima subsidi tiket penerbangan antara RM 300 hingga RM 400, menjadikan jumlah bantuan gabungan dengan GRS/SUBFLY sekitar RM 1,000.
“Kini melalui inisiatif kerajaan negeri dan juga program FLYSISWA oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, pelajar Sabah boleh menerima bantuan sehingga sekitar RM1,000 untuk tiket penerbangan.” katanya ketika sidang media di Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Dan Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia di sini.
Beliau juga menekankan bahawa pelaksanaan bantuan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kos sara hidup mahasiswa, serta mencerminkan pendekatan bersepadu kerajaan bagi memastikan dasar dan program yang diperkenalkan menepati keperluan rakyat.