Pearly-Thinaah kandas di separuh akhir All England 2026

Pearly Tan-M. Thinaah/ BAM

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah kecundang kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2026 pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly-Thinaah tewas 17-21, 18-21 dalam satu jam di Arena Utilita Birmingham.
  • Mereka bermula 2-0 tetapi ketinggalan 11-9 selepas kira-kira 13 minit; set pertama 21-17.
  • Pada set kedua mereka mendahului 10-7 namun akhirnya tewas 21-18; ini kekalahan keempat dalam tujuh pertemuan sejak 2022.

Pasangan nombor dua dunia itu tewas 17-21, 18-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam di Arena Utilita Birmingham.

Pearly-Thinaah memulakan set pertama dengan baik apabila mendahului 2-0, namun Ha Na-So Hee yang berada di ranking keempat dunia bangkit memintas kedudukan untuk mendahului dengan kelebihan 11-9 selepas kira-kira 13 minit permainan.

Pearly-Thinaah bekerja keras untuk merapatkan kedudukan, namun Ha Na-So Hee berhasil menutup set pertama 21-17.

Pada set kedua, Pearly-Thinaah bermula lebih agresif dengan mendahului 10-7 sebelum wakil Korea Selatan itu bangkit melengkapkan kemenangan 21-18 untuk mara ke final.

Ia merupakan kekalahan keempat Pearly-Thinaah dalam tujuh pertembungan menentang Ha Na-So Hee sejak 2022.

Malaysia masih mempunyai satu lagi wakil di separuh akhir menerusi beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan bertemu pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi sebentar lagi. -BERNAMA