
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Mercedes-AMG Petronas F1 menjadi pilihan bekas pelumba Formula Satu (F1) negara Alex Yoong untuk menguasai saingan Grand Prix (GP) Formula 1 Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Okt ini.
- Mercedes bawa pakej naik taraf utama, tunjuk prestasi cemerlang musim ini dengan banyak kemenangan dan mendahului kedudukan pengeluar.
- Alex anggap Max Verstappen ancaman utama serta 'kuda hitam' yang mampu mencabar kemenangan di Sepang.
- Kembalinya F1 ke Sepang beri aksi sukar diramal kerana kemungkinan hujan, kehausan tayar tinggi dan ramai pelumba kurang pengalaman di litar ini.
Alex, yang pernah berlumba bersama Minardi pada musim 2001-2002, berkata pakej naik taraf terbaru Mercedes cukup meyakinkan dan dilihat mampu memberikan kelebihan kepada pasukan Silver Arrows itu berbanding pencabar lain.
Bagaimanapun, bekas pelumba berusia 50 tahun itu enggan menamakan mana-mana pelumba antara George Russell dan Kimi Antonelli, yang akan mengungguli perlumbaan hujung minggu ini.
“Saya tidak pasti. Seorang daripada mereka (menang perlumbaan),” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini, pasukan yang berpangkalan di Brackley, United Kingdom itu memperkenalkan sayap hadapan baharu selain beberapa komponen lain bagi meningkatkan prestasi jentera, termasuk ketika GP Kanada pada Mei lepas.
Mercedes dilaporkan bakal membawa satu lagi pakej naik taraf utama ke GP Bahrain di Malaysia dalam usaha memperkukuh prestasi bagi menghadapi cabaran musim ini.
Pasukan itu yang mempamerkan prestasi cemerlang pada musim 2026 dengan meraih 11 kemenangan GP kini mendahului kedudukan pengeluar dengan 538 mata, diikuti Ferrari di tempat kedua (378 mata) dan McLaren ketiga (306 mata).
Kedua-dua pelumba Mercedes turut menguasai dua kedudukan teratas carta pelumba dengan Antonelli, 20, mendahului menerusi 302 mata, manakala Russell, 28, di tempat kedua dengan 236 mata.
Sementara itu, Alex melihat juara dunia empat kali Max Verstappen sebagai ancaman utama kepada Mercedes dan menyifatkan pelumba Red Bull Racing itu sebagai ‘kuda hitam’ yang mampu mencabar kemenangan.
“Semua orang tahu betapa hebatnya dia dan dia sememangnya ‘kuda hitam’ untuk memenangi perlumbaan,” katanya.
Pelumba Belanda berusia 28 tahun itu merupakan pemenang perlumbaan F1 di Litar Sepang ketika GP Malaysia edisi terakhir pada 2017.
Dalam pada itu, Alex berkata perlumbaan F1 yang kembali ke Malaysia selepas sembilan tahun bakal menyajikan aksi menarik dan sukar diramal kepada peminat.
Beliau berkata kemungkinan hujan, kadar kehausan tayar yang tinggi serta kurangnya pengalaman terkini kebanyakan pelumba beraksi di Litar Sepang menjadikan saingan kali ini lebih terbuka.
Hanya 10 pelumba yang beraksi pada GP Malaysia 2017 masih berada dalam grid musim 2026, antaranya Verstappen, Lewis Hamilton, Fernando Alonso, Valtteri Bottas, Carlos Sainz dan Pierre Gasly.
Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026, selepas perlumbaan berkenaan sebelum ini dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dikeluarkan daripada kalendar F1.- BERNAMA