Emas selepas 36 tahun penutup manis buat Sobey

Foto Majlis Sukan Negara

NAGOYA, 30 Sept – Tiada yang lebih manis buat tekong negara Muhammad Zulkifli Abd Razak apabila menutup penampilan terakhirnya di pentas Sukan Asia dengan membantu Malaysia menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan sepak takraw pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sobey menitiskan air mata selepas Malaysia menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final di Paloma Mizuho Arena.
  • Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai anugerah dan berterima kasih kerana dikurniakan kekuatan membantu pasukan.
  • Semua kudrat dan kejayaan dianggap kurniaan Allah, beliau menzahirkan rasa syukur dan keimanan.
  • Malaysia tidak berjaya raih emas berganda, terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas 0-2 kepada Thailand.

Lebih dikenali dengan panggilan Sobey, Muhammad Zulkifli tidak dapat menahan sebak selepas Malaysia menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final di Paloma Mizuho Arena, apatah lagi menyedari kemenangan bersejarah itu juga menjadi noktah perjalanannya di temasya sukan terbesar Asia.

Ia sekali gus menjadikan kejayaan di Aichi-Nagoya lebih bermakna sepanjang karier beliau selaku pemain kebangsaan.

“Alhamdulillah, syukur sebab kita dapat memecahkan rekod 36 tahun. Saya rasa Sukan Asia bagi saya yang terakhir.

“Saya menangis sebab tak ada dah yang selepas ini, saya tak ada dah di Sukan Asia,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Zulkifli menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai satu anugerah dan menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan kekuatan untuk membantu skuad negara melakar sejarah.

“Saya rasa semua yang saya bermain tempoh hari (acara regu berpasukan) dengan gerak geri Allah SWT kerana hanya Dia yang gerakkan saya,” katanya.

Beliau berkata segala kudrat yang dimilikinya sepanjang perlawanan juga dianggap sebagai kurniaan Tuhan, terutama ketika membantu Malaysia menamatkan penantian panjang untuk kembali bergelar juara acara itu.

“Dia yang kurniakan kudrat dan semuanya, semuanya adalah Allah. Alhamdulillah,” katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara regu berpasukan ialah pada edisi 1990 di Beijing, juga menewaskan musuh tradisi, Thailand.

Malaysia berpeluang mengulangi pencapaian edisi berkenaan dengan meraih emas berganda menerusi acara antara regu semalam, namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 0-2 kepada Thailand pada aksi final.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.