
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Tawaran gaji sehingga tiga kali ganda lebih tinggi di luar negara menjadi cabaran dalam usaha Malaysia mengekalkan tenaga pakar tempatan bagi memperkukuh industri semikonduktor bernilai tinggi.
- Pakar reka bentuk IC dan penyelidikan R&D menerima gaji antara RM8,000 hingga RM25,000 sebulan, bergantung pengalaman dan pengkhususan.
- Jurutera kanan sektor semikonduktor boleh memperoleh gaji antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan.
- Kos sara hidup di negara-negara luar lebih tinggi berbanding Malaysia, faktor perlu dipertimbangkan bersama tawaran gaji.
- Penyediaan laluan kerjaya kompetitif sejajar peningkatan kemahiran dan pengalaman penting untuk mengekalkan tenaga pakar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pakar reka bentuk litar bersepadu (IC) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) boleh menerima gaji antara RM8,000 hingga RM25,000 sebulan, bergantung pada pengalaman, kemahiran dan pengkhususan.
Menurut beliau, jurutera kanan dalam sektor berkenaan pula boleh memperoleh gaji antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan.
“Dalam konteks negara kita, isu gaji memang menjadi pertimbangan, khususnya bagi tenaga pakar yang berpengalaman.
“Jika dibandingkan dengan tawaran bekerja di United Kingdom, Singapura, Korea Selatan atau Taiwan, mereka mungkin boleh memperoleh gaji dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi.
“Bagaimanapun, kos sara hidup di negara-negara tersebut juga lebih tinggi berbanding Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, berhubung isu gaji dan keberkesanan mekanisme meningkatkan pampasan bagi mengelakkan penghijrahan tenaga pakar semikonduktor tempatan ke luar negara di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya, penyediaan laluan kerjaya yang kompetitif, seiring peningkatan kemahiran dan pengalaman, penting bagi memastikan Malaysia mampu mengekalkan tenaga pakar untuk menyokong pertumbuhan industri semikonduktor negara.