
KUALA LUMPUR 6 Mac -Malaysia mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara apabila jumlah keseluruhan mencecah RM426.7 bilion sepanjang tahun 2025.
- Peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, menandakan pertumbuhan pelaburan negara.
- Sebanyak 8,390 projek diluluskan dengan potensi mewujudkan kira-kira 244,902 peluang pekerjaan.
- Pelaburan domestik kukuh pada RM219.6 bilion, menyumbang 51.5 peratus daripada jumlah diluluskan.
- Pelaburan asing meningkat 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, sebanyak 8,390 projek pelaburan telah diluluskan dengan potensi mewujudkan kira-kira 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Pelaburan domestik kekal kukuh dengan nilai RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada masa sama, pelaburan asing turut meningkat 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan negara serta kejelasan dasar ekonomi Malaysia.
“Pencapaian itu adalah hasil usaha bersepadu seluruh jentera Kerajaan MADANI dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mempergiat usaha menarik serta merealisasikan pelaburan ke dalam negara,” katanya.
Jelas Datuk Seri Anwar, setiap pelaburan yang diluluskan bukan sekadar direkodkan sebagai angka, sebaliknya diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta manfaat ekonomi kepada rakyat.
Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus komited memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai dapat dinikmati seluruh rakyat.