
PUTRAJAYA, 5 Mac – Imigresen FC bakal mempergiat pembangunan bola sepak akar umbi menerusi penganjuran klinik bola sepak di seluruh negara sebagai langkah memperluas pencarian bakat baharu bagi memperkukuh skuad kelab itu pada masa depan.
- Imigresen FC akan jalankan klinik bola sepak di seluruh negara bersama Jabatan Imigresen untuk pembangunan akar umbi.
- Klinik bertujuan latih asas teknikal dan pemahaman sukan untuk kanak-kanak serta remaja.
- Program berfungsi sebagai platform pencarian pemain belia berpotensi untuk diserap ke skuad kelab.
- Kenderaan disediakan memudahkan pengurusan dan jelajah klinik, bermula di Lembah Klang lalu ke negeri lain.
Pengarah Teknikal Imigresen FC II, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata program tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia yang mempunyai rangkaian pejabat di setiap negeri.
Menurut beliau, program itu bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja mempelajari asas bola sepak, malah menjadi platform mengenal pasti pemain berpotensi untuk diserap ke dalam pasukan.
“Sekiranya pasukan kekal bersaing dalam Liga Super dan Liga A1 musim depan, tumpuan utama kami adalah memperkasakan pasukan remaja.
“Kami sedang giat melakukan pencarian bakat bagi mengenal pasti pemain belia yang benar-benar bersedia untuk diserapkan ke dalam skuad,” katanya.
“Selain itu, sebagai Pengarah Teknikal, menjadi tanggungjawab saya untuk mencurahkan pengalaman kepada bakat muda dan kanak-kanak melalui klinik bola sepak bagi memantapkan teknik serta pemahaman asas mereka terhadap sukan ini.” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima sebuah kenderaan yang akan digunakan bagi memudahkan pergerakan pasukan pengurusan serta pelaksanaan program pembangunan bola sepak kelab itu di Kementerian Dalam Negeri, di sini.
Menurutnya, kemudahan pengangkutan tersebut akan dimanfaatkan bagi menjelajah ke pelbagai lokasi untuk menganjurkan klinik bola sepak serta menjalankan aktiviti pencarian bakat.
“Kegunaan kenderaan ini adalah untuk pegawai-pegawai bergerak, kedua untuk kami menjelajah ke kawasan-kawasan yang tertentu.
“Kedua, untuk saya mengendalikan klinik-klinik bola sepak kepada kanak-kanak hinggalah orang dewas. Semuanya kegunaan satu transport ini untuk memastikan mencari bakat di dalam program Menteri Dalam Negeri dan juga untuk mencari bakat untuk pasukan bola sepak Imigresen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan program klinik bola sepak berkenaan dijangka bermula di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk di utara tanah air.