Jauhi tindakan “robek fabrik sosial” masyarakat majmuk

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Jauhi kenyataan dan tindakan yang sentuh agama, kaum atau institusi diraja kerana boleh merobek fabrik sosial dan menjejaskan keharmonian.
  • Pihak berkuasa disaran bertindak tegas terhadap penyebar kebencian dan provokasi media sosial untuk mengekalkan kestabilan.
  • Perkukuh perpaduan melalui program libat urus, wacana dan aktiviti merapatkan silaturahim antara komuniti berbilang kaum.

Setiap warganegara Malaysia perlu faham ada tanggungjwab moral bagi mempertahankan fabrik sosial masyarakat majmuk negara yang telah lama terjalin.

Kita perlu insaf betapa jalinan hubungan kekitaan yang terbentuk sekian lama merentasi soal agama, kaum, nilai, norma, dan kepercayaan berjaya mengikat masyarakat untuk hidup bersama dalam suasana yang harmoni, sekali gus membentuk kestabilan dan perpaduan negara.

Jadi kita perlu memandang serius isu-isu sensitif yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini kerana khuatir boleh menjadi punca utama yang merobek fabrik sosial dan meruntuhkan jambatan perpaduan antara masyarakat.

Tindakan segelintir anggota masyarakat yang secara berterusan menyentuh soal kaum, agama dan institusi diraja (3R) dilihat semakin membimbangkan kerana boleh mencetuskan kegusaran awam serta menjejaskan ketenteraman dan keharmonian masyarakat.

Generasi terdahulu telah meletakkan batu asas yang kukuh dalam membina dan membentuk naratif fabrik sosial masyarakat majmuk negara ini berpaksikan semangat kerjasama dan toleransi yang tinggi, selain menyuburkan budaya menerima dan meraikan perbezaan amalan, adat dan budaya kaum lain.

Anehnya generasi sekarang umpama tidak membaca lakaran sejarah negara ini khususnya pengorbanan generasi terdahulu ketika mencapai kemerdekaan, apatah lagi ambil iktibar dengan pelbagai insiden tidak diingini yang pernah berlaku sebelum ini seperti peristiwa 13 Mei yang masih kekal menjadi detik hitam fabrik sosial negara.

Hakikat yang perlu diterima ialah majoriti penduduk negara ini beragama Islam, agama Islam telah diiktiraf sebagai agama bagi Persekutuan, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan Perlembagaan menjamin kedudukan keistimewaan orang Melayu serta mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi beraja.

Tetapi kita kecewa apabila masih ada yang menyentuh perkara ini, mempersoalkan kedudukan keistimewaan, selain bertindak diluar kewarasan apabila mengeluarkan pelbagai kenyataan, komen atau kandungan yang mengundang kemarahan orang lain.

Tindakan seperti menghina agama Islam, selain menggunakan platform media sosial untuk mencetuskan provokasi, menyebarkan kebencian, menulis komen jelik adalah sukar untuk diterima apatah lagi dimaafkan begitu saja.

Justeru sudah tiba masanya untuk kita menggembleng tenaga, bekerjasama dan bersatu hati menoktahkan budaya, sikap, tingkah laku negatif dan tidak sihat yang cuba merobek fabrik sosial masyarakat majmuk di negara tercinta ini.

Tuntasnya, kita tidak boleh bertolak ansur dengan individu yang masih degil, cuba jadi juara sesuatu kaum dengan memanipulasi isu tertentu, selain terus mencabar pihak berkuasa dan kesabaran masyarakat.

Hakikatnya, negara dan masyarakat masih bergelut untuk pulih dari ancaman virus, ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik dunia, justeru kita tidak boleh membiarkan isu dalaman seperti ini menganggu usaha kerajaan dan semangat majoriti rakyat yang mahu membangunkan negara dan meneruskan kelangsungan hidup secara aman dan damai.

Walaupun bilangan yang terlibat tidak ramai, hanya membabitkan kelompok kecil namun seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita tidak boleh membiarkan mereka merosakkan apa yang telah kita bina selama ini.

Tindakan mensensasikan dan membesarkan sesuati isu sensitif boleh menganggu gugat kententeraman dan kestabilan negara serta menjejaskan kepentingan rakyat. Malah ia turut menganggu fokus kerajaan untuk membangunkan negara secara lebih teratur.

Maka disyorkan pihak berkuasa terus bertindak lebih agresif dengan mencari, menangkap dan membawa kelompok yang cuba bermain api ini ke muka pengadilan dengan segera.

Segala komen dan kandungan media sosial yang sebarkan kebencian, cetuskan provokasi juga perlu dihalang dan diturunkan dengan segera, selain pelakunya diheret ke muka pengadilan.

Tuntasnya, kita meyokong penuh inisiatif pihak berkuasa yang mengambil tindakan penguatkuasaan tanpa memberi muka atau peluang kedua melalui kemaafan kepada semua yang terlibat.

Hukuman yang dikenakan perlu jadi pengajaran dan iktibar besar kepada orang lain agar menjauhi perbuatan seperti itu.

Pihak kerajaan juga disyorkan terus menggiatkan inisiatif menyuntik semangat perpaduan dalam kalangan rakyat melalui aktiviti seperti sesi libat urus, penganjuran wacana dan advokasi awam selain aktiviti yang boleh membuka ruang untuk kita lebih memahami sejarah dan falsafah di sebalik sejarah pembentukan fabrik sosial masyarakat majmuk di negara ini.

Perbanyakkan aktiviti yang merapatkan hubungan silaturahim sesama anggota masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Anggota masyarakt juga perlu lebih peka dengan apa yang sedang berlaku di sekitar dan sentiasa tahu batas dan faham di mana garis sempadannya agar boleh elak dari melampauinya.

Ringkasnya kita perlu menjadi individu yang bertanggungjawab pada diri, masyarakat dan negara dengan menzahirkan semangat kenegaraan dan jati diri yang cekal.

Ironinya, sebagai warganegara yang sayangkan bumi bertuah ini, kita perlu sedar betapa perpaduan kaum, kemerdekaan, keamanan dan kestabilan yang ada tidak terjamin dan akan kekal selama-lamanya, terutamanya jika isu-isu sensitif tidak ditangani dengan berhati-hati dan ada tangan-tangan nakal yang cuba merobeknya.

Semoga kita dapat memperbaiki segala kesilapan yang ada, elak menyentuh isu-isu sensitif, dan berusaha untuk memperkukuh perpaduan nasional dengan memperkasa dan mempertahankan fabrik sosial masyarakat majmuk yang kita banggakan selama ini.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah
Komunikasi Korporat
Pusat Strategi dan Perhubungan Korpora
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my