
KUALA LUMPUR, 29 April – Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melakar sejarah dalam pasaran modal negara menerusi kejayaan penetapan harga sukuk ditokenkan pertama bernilai RM100 juta.
- Sukuk ditokenkan dibentuk secara digital menggunakan Teknologi Lejar Teragih yang menghasilkan 'kembar digital' dilindungi kriptografi dan tidak boleh diubah.
- Inisiatif Khazanah bertujuan meneroka teknologi digital untuk memperbaiki penerbitan dan pengurusan instrumen pasaran modal domestik.
- SC menyifatkan projek perintis ini sebagai pemangkin transformasi pasaran modal, selaras Pelan Induk Pasaran Modal 2026 hingga 2030.
- Terbitan ini sebahagian Program Sukuk Danum/IMTN hingga nominal RM20 bilion; tempoh matang setahun, berasaskan prinsip Syariah Wakalah bi al-Istithmar.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan sukuk ditokenkan tersebut merupakan produk pasaran modal yang diwujudkan dalam bentuk digital menggunakan Teknologi Lejar Teragih (DLT). menggunakan Teknologi Lejar Teragih (DLT).
Proses tokenisasi itu membolehkan produk berkenaan mempunyai “kembar digital” yang dilindungi secara kriptografi dan tidak boleh diubah suai bagi menjamin keselamatan rekod.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha praktikal dana itu dalam meneroka teknologi digital bagi menambah baik penerbitan serta pengurusan instrumen pasaran modal domestik.
“Dengan kedudukan Khazanah dalam pasaran serta kepimpinan pengawalseliaan oleh SC, kami berjaya menguji pelaksanaan ini secara terkawal dan berhemah,
“Inisiatif yang kami lakukan ini bukan sekadar untuk memperkenalkan produk baru semata- mata, tetapi juga untuk membina asas ke arah pasaran modal yang lebih cekap dan telus dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan sama.
Dalam pada itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, usaha sama itu berpotensi menjadi pemangkin transformasi pasaran modal negara, sekali gus mencerminkan kesediaan Malaysia menerajui era kewangan digital.
“Pelaksanaan perintis ini juga sejajar dengan hala tuju Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 untuk terus memperkukuh pasaran bon dan sukuk melalui inovasi, peningkatan keterhubungan pasaran dan kecekapan pelaksanaan,
“Tokenisasi berpotensi meningkatkan ketelusan, memperluas penyertaan dan menyokong pasaran yang lebih dinamik. Inisiatif seperti ini membolehkan kami menguji potensi tersebut secara terkawal dan berhemah,” katanya.
Jelas beliau, penerbitan itu adalah sebahagian daripada Program Sukuk Danum atau program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai nominal sehingga RM20 bilion.
Ia juga merupakan terbitan sulung yang mempunyai tempoh matang setahun dan distrukturkan berasaskan prinsip Syariah Wakalah bi al-Istithmar.