BDR bukti kemampuan uji kaji budaya kerja baharu sektor awam

Gambar hiasan/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Uji kaji BDR dan kerja empat hari menilai peralihan budaya kerja dari 'hadir lama' kepada fokus hasil, meningkatkan kecekapan organisasi.
  • Pengalaman antarabangsa membuktikan pengurangan waktu kerja meningkatkan produktiviti, kesejahteraan dan membolehkan sektor awam menjadi perintis inovasi masa kerja.
  • Pelaksanaan mesti melalui perancangan tersusun, uji kaji bersasar dan kajian keberkesanan; perkhidmatan kritikal memerlukan reka bentuk fleksibel.

Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) yang diumumkan kerajaan bermula 15 April 2026 susulan krisis Asia Barat wajar dilihat lebih besar daripada sekadar langkah mengurangkan tekanan kos subsidi minyak.

Sebelum ini BDR juga pernah dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 dalam suasana yang ‘mengejut’ dan kurang bersedia dari segi sistem, pelaksanaan dan keperluan fasiliti.

Namun, BDR mula ‘senyap’ dari pelaksanaannya dalam sektor awam setelah pandemik mereda.

Hakikatnya, isyarat yang lebih jelas diberikan dalam konteks semasa, di mana perubahan budaya kerja baharu dan dinamik perlu diterapkan dalam sektor awam.

Uji Kerja Empat Hari Seminggu

Tidak dinafikan tindakan melaksanakan BDR tiga hari seminggu dalam sektor awam merupakan salah satu uji kaji untuk menjimatkan penggunaan bahan api serta menjamin kemampanan bekalan tenaga.

Disebalik uji kaji ini, sebenarnya terbuka satu ruang dan peluang untuk menguji cara bekerja baharu dan dinamik.

Jika BDR boleh diuji sebagai respons jangka pendek akibat krisis tenaga, maka tidak salah sekiranya pihak kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan kerja empat hari seminggu sebagai alternatif baharu.

Budaya ‘Hasil Tinggi’

Bukti terbaik dari luar negara datang daripada model yang mengurangkan masa kerja sebenar tanpa memotong gaji, sambil menuntut organisasi bekerja dengan lebih cekap.

Di sinilah pengajarannya penting untuk Malaysia. Soalan sebenar bukan sama ada pekerja boleh ‘bercuti’ sehari lebih awal. Soal pokoknya ialah sama ada organisasi boleh beralih daripada budaya ‘hadir lama’ kepada budaya ‘hasil tinggi’.

Selain itu, cadangan ini bukan untuk “beri cuti sehari lagi”, tetapi untuk menggalakkan sektor awam menilai semula pembaziran masa, mesyuarat berlebihan, lapisan birokrasi tidak perlu dan budaya kerja yang menyanjung tempoh berada di pejabat lebih daripada mutu hasil kerja.

Apabila sebahagian tugasan boleh dijalankan dari rumah dengan pemantauan digital dan penjadualan baharu, kita sebenarnya sedang menguji asas kepada reformasi yang lebih besar iaitu mengukur prestasi berasaskan output, bukan semata-mata kehadiran fizikal.

Amalan Budaya Kerja Baharu Negara Luar

Asas kepada pelaksanaan bekerja empat hari seminggu bermula pada uji kaji berskala kecil yang berkembang menjadi dasar yang digunapakai dalam pentadbiran organisasi.

Pengalaman Iceland amat relevan untuk sektor awam. Dari 2015 hingga 2019, negara itu menjalankan percubaan minggu kerja lebih pendek dalam sektor awam dan hasilnya amat memberangsangkan.

Lebih menarik, pelaksanaan tersebut bukan hanya melibatkan pekerja pejabat, malah turut melibatkan pekerjaan syif seperti jururawat dan polis.

Hasilnya, produktiviti serta penyampaian perkhidmatan didapati kekal atau bertambah baik di kebanyakan tempat kerja, kesejahteraan pekerja meningkat dengan ketara, dan selepas percubaan tersebut 86 peratus tenaga kerjanya sama ada sudah bekerja dengan waktu lebih pendek atau mempunyai hak untuk memendekkan waktu kerja.

Ini penting kerana ia membuktikan sektor awam bukan halangan kepada inovasi masa kerja malah boleh menjadi perintisnya.

Manfaat Sosial Tenaga Kerja

Di United Kingdom, percubaan enam bulan melibatkan 61 organisasi dan sekitar 2,900 pekerja memberi dapatan yang sukar diabaikan.

Dengan pengurangan waktu kerja sebanyak 20 peratus tanpa pemotongan gaji, 71 peratus pekerja melaporkan tahap kelesuan (burnout) lebih rendah, 39 peratus kurang stres, pengambilan cuti sakit turun 65 peratus, dan kadar pekerja berhenti turun 57 peratus.

Lebih penting, 92 peratus organisasi memilih untuk meneruskan model itu selepas tempoh percubaan.

Ini menunjukkan bahawa apabila masa kerja dipendekkan, organisasi sering dipaksa membuang mesyuarat tidak perlu, mengurangkan proses berulang dan menaikkan disiplin kerja dan di situlah produktiviti sebenar dapat dinilai.

Di Portugal pula, percubaan bekerja empat hari seminggu dilaksanakan pada tahun 2023 dan dibiayai oleh kerajaan. Laporan menunjukkan purata waktu kerja mingguan turun daripada 41.6 jam kepada 36.5 jam.

Pekerja yang terlibat dalam percubaan tersebut telah melaporkan kesihatan mental dan fizikal yang lebih baik, malah peratus pekerja yang menghadapi kesukaran mengimbangi kerja dan kehidupan peribadi menurun dengan ketara daripada 50% kepada 16%.

Ertinya, manfaat kerja empat hari bukan setakat sentimen psikologi, tetapi menyentuh kesihatan tenaga kerja dan mampu mengekalkan pekerja dalam jangka panjang.

Jimat Tenaga, Lebih Lestari

Secara teknikalnya, kerja empat hari seminggu boleh membantu menjimatkan tenaga kerana organisasi beroperasi kurang satu hari.

Manfaat ini dirasai melalui pengurangan penggunaan perkasasan elektrik, pendingin hawa dan utiliti bangunan. selain perjalanan ulang-alik dan perjalanan kerja yang turut berkurang.

Sebagai contoh di Jepun, pelaksanaan rintis bekerja empat hari seminggu telah dilaporkan berjaya mengurangkan kos elektrik sebanyak 23 peratus.

Satu kajian di UK juga menganggarkan tempoh hari bekerja lebih pendek boleh mengurangkan jejak karbon negara tersebut sehingga 127 juta tan, iaitu bersamaan mengurangkan 27 juta kenderaan di atas jalan raya.

Perlu Perancangan Tersusun, Kaji Keberkesanan

Sudah tentu, berdasarkan amalan baik beberapa negara tidaklah ‘memaksa’ kerajaan melaksanakan kerja empat hari seminggu secara menyeluruh dan tergesa-gesa.

Perkhidmatan kritikal, seperti operasi barisan hadapan, keselamatan dan kesihatan yang berfungsi 24 jam memerlukan reka bentuk berbeza dan lebih fleksibel.

Oleh kerana itu, pendekatan terbaik ialah uji kaji dasar secara bersasar dan disusun mengikut kategori pekerjaan yang bersesuaian.

Kajian keberkesanaan juga perlu dilaksanakan supaya impak budaya kerja baharu ini dapat dinilai daripada pelbagai dimensi, bukan sahaja dari aspek penjimatan semata-mata.

Cara Kerja Masa Depan, Lebih Manusiawi

Hakikatnya, krisis Asia Barat sudah pun memaksa kita berfikir semula tentang cara dan budaya bekerja baharu. BDR membuktikan kerajaan sanggup bereksperimen dengan dasar apabila keadaan mendesak.

Maka, tidak salah untuk kita melangkah setapak lagi dengan menjadikan eksperimen itu lebih strategik dan berorientasikan masa depan.

Dalam ekonomi yang semakin terdedah kepada kejutan geopolitik, masalah kesihatan mental yang meruncing dan pasaran buruh yang semakin kompetitif, kerja empat hari seminggu bukanlah idea radikal.

Ia mungkin menjadi salah satu pembaharuan paling praktikal untuk melahirkan sektor awam yang lebih cekap, lebih manusiawi dan lebih produktif.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman
Pensyarah Kanan
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Putra Malaysia
e-mel:daaniyall@upm.edu.my