Rusia tidak akan keluar OPEC+ ketika krisis pasaran minyak global – Novak

Foto hiasan/ AFP

MINERALNYE VODY (Rusia), 30 April – Rusia, selaku antara pengeluar minyak utama dunia, tidak bercadang untuk meninggalkan OPEC+, kata Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Emiriah Arab Bersatu mengumumkan penarikan diri daripada OPEC dan OPEC+ berkuat kuasa 1 Mei, menganggapnya pilihan berdaulat dan strategik.
  • Rusia menyifatkan mekanisme OPEC+ sebagai efektif dan memberi manfaat kepada pasaran minyak.
  • Novak berkata Rusia tidak berbincang mengenai penarikan UAE itu dengan Arab Saudi.
  • Industri minyak menghadapi krisis semakin meruncing; banyak minyak tidak memasuki pasaran, dan perang harga tidak dijangka susulan tindakan UAE.

Kenyataan itu menyusul selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan OPEC+ berkuat kuasa 1 Mei ini.

Kementerian Luar UAE menyifatkan langkah itu sebagai pilihan berdaulat dan strategik berdasarkan visi ekonomi jangka panjangnya, sambil menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan bagi menyokong pasaran tenaga global pasca penarikan diri daripada organisasi itu.

“Sebagai negara pengeluar minyak terbesar, kami tidak akan menarik diri daripada kerjasama ini,” kata Novak kepada pemberita di luar acara Forum Pelaburan Caucasian, sambil menegaskan bahawa Rusia menganggap mekanisme itu kekal efektif dan bermanfaat kepada pasaran minyak.

Beliau turut memaklumkan bahawa Rusia tidak membincangkan isu penarikan diri UAE itu dengan Arab Saudi.

Pada acara yang sama, Novak memberi amaran bahawa industri minyak global kini berdepan krisis yang semakin meruncing, dengan sejumlah besar minyak gagal memasuki pasaran buat masa ini.

“Kami melihat krisis paling meruncing dalam industri ini sedang berterusan, dan jumlah minyak yang amat besar tidak memasuki pasaran hari ini,” katanya.

Beliau berkata permintaan minyak global kini jauh lebih tinggi berbanding bekalan, dan menyifatkan ketidakseimbangan itu mempunyai kaitan dengan perkembangan yang berlaku di Asia Barat.

Novak seterusnya menegaskan bahawa perang harga dalam pasaran minyak tidak akan berlaku susulan tindakan UAE itu, memandangkan keadaan semasa yang sedang berdepan masalah kekurangan bahan api.- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI