Aesha, Uwais cerminan generasi MADANI masa depan

Aesha dan Uwais selepas menerima sumbangan kecil daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/FB Anwar Ibrahim

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Menonjolkan keikhlasan dan kemurahan hati; niat lebih penting daripada jumlah, tindakan kecil memberi impak besar.
  • Mencerminkan nilai MADANI: hormat, kasih sayang, empati dan adab yang membentuk masyarakat beradab.
  • Menegaskan peranan keluarga sebagai institusi pendidikan awal dalam menanam akhlak dan membentuk generasi masa depan.

Gelagat Aesha Khadeejah Anuar dan adiknya, Uwais Al Qarni, masing-masing berusia 10 dan lapan tahun yang menyerahkan sampul mengandungi duit raya yang disimpan untuk perbelanjaan sekolah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) baru-baru ini menarik perhatian pelbagai pihak.

Anwar sendiri dalam hantaran di laman rasmi facebook memuji keikhlasan dua beradik tersebut sekali gus menghulurkan sumbangan tablet, senaskah buku Iqra, wang tunai dan beg sekolah sebagai tanda penghargaan.

Tatkala kita tertarik dengan tindakan spontan mereka memberikan duit raya kepada Perdana Menteri, fokus utama banyak terarah kepada sikap dan sifat terpuji yang mereka pamerkan pada usia muda seperti ini.

Secara umumnya, perwatakan dua beradik ini mencerminkan ciri-ciri generasi MADANI yang sarat dengan sifat dan nilai-nilai murni terpuji seperti yang hendak kita lahirkan pada masa hadapan. Tuntasnya, generasi yang beradab, penyayang dan berjiwa besar.

Antara nilai murni yang boleh dijadikan sebagai suri teladan hasil daripada peristiwa kecil ini tetapi memberikan nilai impak yang besar ialah, pertama budaya keikhlasan dalam memberikan sesuatu kepada orang lain.

Dua kanak-kanak ini membuktikan betapa umur dan kemampuan diri khususnya kemampuan kewangan tidak boleh dijadikan halangan atau alasan untuk membantu orang lain.

Ringkasnya, walaupun jumlahnya kecil dan disimpan untuk perbelanjaan sekolah, namun mereka sanggup berkongsi rezeki dengan hati yang tulus tanpa mengharapkan balasan, sekali gus membuktikan kepada semua betapa nilai sesuatu pemberian terletak pada niat dan bukannya pada jumlah.

Tangkap layar ketika Datuk Seri Anwar menyantuni adik Uwais Al Qorni dan kakaknya Aesha Khadeeja di pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada April 2026 lalu/RTM

Kedua, anak-anak ini berjaya menzahirkan nilai kasih sayang sesama insan di mana mereka memperlihatkan rasa kasih dan penghargaan kepada seorang pemimpin melalui cara yang sangat santai tetapi menyentuh hati.

Anwar sendiri mengakui tindakan mereka berdua benar-benar buat beliau meruntun jiwa. Ini menunjukkan nilai kasih dan sayang boleh dizahirkan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan.

Ketiga, gelagat mereka juga berjaya menonjolkan semangat kepentingan menjaga adab dan menghormati pemimpin negara, bukan kerana pangkat semata-mata, tetapi kerana mereka telah diasuh dan dididik untuk menghargai orang lain.

Hakikatnya, budaya hormat menghormati adalah nilai asas yang perlu dimiliki oleh setiap individu kerana akan membantu proses pembentukan masyarakat beradab, malah hormat juga telah menjadi antara nilai teras di bawah kerangka Malaysia MADANI.

Keempat, sifat pemurah yang dipamerkan menunjukkan ianya boleh dibentuk pada usia yang muda sehinggakan mereka berjaya mengubah kelaziman daripada amalan kanak-kanak yang biasanya menerima duit raya daripada orang dewasa kepada keadaan di mana mereka pula memilih untuk memberi.

Kelima, kanak-kanak ini juga berjaya membuka mata kita betapa perbuatan mulia tidak semestinya melibatkan sesuatu yang besar atau mewah. Ringkasnya, mereka telah membuktikan bahawa kadangkala tindakan kecil sudah memadai untuk meninggalkan kesan yang besar kepada kehidupan orang lain.

Keenam, sifat keberanian mereka yang berani bersemuka dan memberi sesuatu kepada Perdana Menteri menunjukkan tahap keyakinan yang sangat tinggi kerana tidak semua kanak-kanak mampu berbuat demikian. Malah orang dewasapun belum tentu berani berhadapan dengan seorang Perdana Menteri.

Secara prinsipnya, tindakan kanak-kanak ini membuktikan ungkapan, anak yang dilahirkan ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Ibu bapa kedua-dua kanak-kanak ini telah membuktikan kepada kita semua bahawa didikan keluarga yang baik akan melahirkan anak yang hebat dari segi sikap dan adabnya.

Ternyata anak-anak ini telah dididik untuk berkongsi rezeki, menghormati orang lain terutamanya pemimpin negara, berbuat baik kepada semua dan sentiasa menyantuni orang lain.

Dalam konteks yang lebih besar, keluarga sebenarnya perlu terus menjadi institusi pendidikan paling awal yang menentukan arah pembentukan sahsiah anak-anak.

Hakikatnya, anak-anak tidak hanya belajar melalui kata-kata, tetapi lebih banyak meniru melalui apa yang mereka lihat setiap hari. Jika budaya memberi, menghormati dan menyantuni diamalkan di rumah, nilai itu akan tumbuh secara semula jadi dalam diri mereka.

Justeru, ibu bapa hari ini perlu melihat peristiwa ini sebagai satu peringatan bahawa pendidikan akhlak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah. Anak-anak memerlukan contoh hidup di depan mata kerana nilai yang ditanam sejak kecil akan menentukan wajah masyarakat pada masa hadapan.

Dari sudut perkembangan psikologi, tindakan seperti ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang dan penghargaan cenderung mempunyai tahap empati yang lebih tinggi. Empati inilah yang menjadi asas kepada pembentukan insan yang seimbang dari segi emosi dan sosial.

Umumnya, tindakan dua beradik ini secara tidak langsung mencerminkan roh Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat dan kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat. Tahniah kepada ibu bapa Aesha dan Uwais.

Kisah ini juga mengingatkan kita bahawa usia bukan penghalang untuk menunjukkan akhlak yang terpuji. Ternyata anak kecil mampu menjadi guru kepada orang dewasa tentang erti sebenar keikhlasan, kasih sayang dan kemurahan hati.

Ironinya, pada ketika anggota masyarakat sedang berhadapan dengan pelbagai kepincangan dan masalah sosial khususnya keruntuhan adab dan nilai, kejadian ini umpama memberikan sinar harapan baharu kepada semua.

Hal ini dikatakan demikian kerana ternyata kita masih boleh meletakkan harapan tinggi kepada institusi keluarga dalam mendidik dan melahirkan generasi masa depan yang hebat. Aesha dan Uwais hadir mengingatkan kita dan menyampaikan satu mesej yang cukup jelas bahawa harapan terhadap masa depan negara masih ada.

Dalam era digital hari ini, ramai anak-anak membesar dalam suasana yang lebih terdedah kepada budaya individualistik, materialistik dan mencari perhatian di media sosial.

Justeru, tindakan kecil Aesha dan Uwais menjadi sesuatu yang luar biasa kerana ia hadir pada zaman yang semakin menipiskan nilai empati dalam kalangan masyarakat.

Maka secara jujurnya, kisah ini bukan sahaja menyentuh hati seorang pemimpin negara, tetapi menjadi peringatan penting kepada masyarakat bahawa masih wujud nilai-nilai murni yang hidup dalam kalangan generasi muda hari ini.

Diharap ibu bapa dan golongan remaja di luar sana mengambil iktibar dan menjadikan dua beradik ini sebagai suri teladan agar kita dapat membentuk dan melahirkan generasi madani yang boleh menjadi kebanggaan keluarga serta negara.

Terima kasih Aesha dan Uwais.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my