“CEO” di pejabat, ‘jururawat’ di rumah: Lelah wanita yang tak didendang

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Tanggungjawab penjagaan warga emas mengganggu kerjaya; wanita terpaksa kurangkan waktu, tolak kenaikan, atau berhenti kerja.
  • Gangguan kerja mengurangkan caruman KWSP, mendedahkan wanita kepada risiko kemiskinan tegar pada usia tua.
  • Nilai ketaatan budaya meletakkan beban penjagaan tak seimbang pada anak perempuan dan menantu, mengekang kemajuan profesional.
  • Tanpa sistem penjagaan formal dan sokongan majikan, 'Generasi Sandwic' terus terbeban; perubahan sistemik segera diperlukan.

Di sebalik hiruk-pikuk kehidupan moden dan kempen pemerkasaan wanita di tempat kerja, ada satu realiti pahit yang jarang dibicarakan.

Di sebalik kejayaan memegang portfolio penting di meja korporat, ribuan wanita sebenarnya sedang bergelut dengan satu ‘cabaran senyap’—tuntutan budaya untuk menjadi penjaga utama ibu bapa atau mertua yang uzur.

Menjelang tahun 2030, Malaysia dijangka secara rasmi bergelar ‘Negara Tua’ (Aging Nation). Namun, norma masyarakat yang masih meletakkan tanggungjawab penjagaan hampir sepenuhnya di bahu anak perempuan atau menantu perempuan; secara perlahan-lahan namun pasti, telah mengekang kemajuan dan cita-cita kerjaya kelompok ini.

Kesan Kepada Kerjaya dan Kewangan

Tanggungjawab menjaga warga emas di rumah bukanlah sekadar rutin moral harian. Ia meninggalkan kesan parut yang konkrit pada profil profesional seorang wanita. Ramai yang terpaksa mengambil keputusan drastik antaranya mengurangkan waktu bekerja dan ada yang terpaksa menolak tawaran kenaikan pangkat.

Selain itu, ada juga yang diletakkan dalam laluan kerjaya yang perlahan (mommy track), memilih bersara awal, atau membuang terus cita-cita dan berhenti kerja sepenuhnya.

Akibatnya, wanita terus kurang diwakili dalam posisi pengurusan strategik. Lebih membimbangkan, gangguan dalam tempoh perkhidmatan pekerjaan ini membawa kepada kerugian jangka panjang dalam jaringan keselamatan kewangan mereka sendiri.

Kekurangan caruman peribadi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mendedahkan wanita kepada risiko kemiskinan tegar apabila mereka sendiri meniti usia tua kelak.

Dilema “Anak Mithali” dan Ketidakadilan Budaya

Situasi ini berakar umbi daripada nilai ketaatan kepada ibu bapa (filial piety) yang disanjung tinggi. Dalam masyarakat Asia umumnya dan di Malaysia khususnya, sudah menjadi lumrah tidak tertulis bahawa anak perempuan atau lebih terbeban, menantu perempuan, diharapkan secara automatik supaya berkorban menjaga ibu bapa yang sakit.

Jika anak lelaki sibuk bekerja, ia dianggap mencari rezeki. Jika anak perempuan melebihkan kerjaya, ia sering kali disalah erti sebagai mengabaikan ‘syurga’. Walaupun niatnya adalah untuk meraih keberkatan, beban yang tidak seimbang ini menuntut pengorbanan yang sangat melampau daripada kaum hawa.

Tragedi ‘Generasi Sandwic’ Merentas Darjat

Hakikatnya, wanita daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi tetap sahaja terhimpit. Bagi pekerja wanita berpendapatan rendah (B40), mereka terperangkap dalam pengurusan “bebanan tiga kali ganda” (triple whammy).

Ia merujuk wanita yang terpaksa bekerja mencari rezeki, menguruskan hal ehwal rumah tangga dan anak-anak, sambil merawat warga emas. Ramai yang terpaksa bertukar kepada pekerjaan bergaji kecil dan tiada jaminan masa depan asalkan ia memberi waktu yang lebih fleksibel.

Sebaliknya, bagi profesional wanita dan eksekutif wanita berpendidikan tinggi, mereka juga terpaksa tunduk dengan tekanan “penjagaan pengurusan” (managerial caregiving). Mereka perlu menyelaraskan jadual janji temu hospital, rawatan fisioterapi, dan menguruskan rumah tangga.

Namun, pada masa yang sama, wajib mengekalkan rekod Indeks Prestasi Utama (KPI) yang luar biasa di pejabat. Keadaan memerah keringat ini sering kali membawa kepada kemerosotan kesihatan mental, kemurungan, dan lesu upaya atau burnout.

Tuntutan Sokongan Sistemik dan Perubahan

Meskipun norma tradisional ini sangat menebal, pemerhatian mutakhir menunjukkan anjakan paradigma dalam kalangan Generasi Y dan Z. Mereka mula mempersoalkan ketidakadilan sistemik ini—mengapa tanggungjawab penjagaan fizikal yang memenatkan ini hanya jatuh ke bahu satu jantina?

Realitinya, selagi sistem penjagaan warga emas formal dalam negara kita kekal lemah, dan selagi majikan mengambil pendekatan menutup mata terhadap survival ‘Generasi Sandwic’ ini, selagi itulah kita menafikan potensi hebat tenaga kerja wanita kepada ekonomi pertiwi.

Ketaatan kepada ibu bapa adalah kemuliaan, namun institusi korporat dan masyarakat harus segera berubah untuk memberikan sistem sokongan yang sewajarnya.

Jangan biarkan niat luhur wanita membaktikan diri kepada orang tua mereka, akhirnya bertukar menjadi ‘hukuman mati’ kepada kerjaya, impian, dan masa depan kesejahteraan mereka sendiri.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Hazelena Dewi Fatahul Ariffin
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Antarabangsa Selangor
e-mel: hazelena@uis.edu.my