Polis Terengganu temui peralatan cetak MyKad palsu dalam serbuan dadah

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 29 April– Polis Terengganu berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan MyKad yang digunakan untuk membuat pinjaman bank secara dalam talian susulan penahanan dua lelaki dalam satu serbuan di Besut, Khamis lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peralatan pemalsuan ditemui: komputer riba, pencetak, mesin laminator, kad kosong dan 12 MyKad disyaki palsu.
  • MyKad menggunakan maklumat individu sebenar, tetapi gambar diubah dan tidak sepadan dengan rekod rasmi JPN.
  • Sindiket dipercayai menipu permohonan pinjaman dalam talian, meragut lebih RM40,000; kes disiasat mengikut undang-undang pemalsuan dan dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Raja kira-kira pukul 10.00 pagi, 23 April lepas.

Beliau berkata, serbuan awal yang bertujuan membanteras aktiviti dadah itu turut menemukan dua paket ketulan kristal disyaki syabu seberat 7.11 gram.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan membawa kepada penemuan peralatan pemalsuan dokumen termasuk komputer riba, pencetak, mesin laminator, kad kosong serta 12 keping MyKad yang disyaki palsu.

“Siasatan mendapati MyKad tersebut menggunakan maklumat individu sebenar, namun gambarnya telah diubah dan tidak sepadan dengan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.

Mohd Khairi menjelaskan, sindiket itu dipercayai menggunakan dokumen palsu berkenaan bagi membuat permohonan pinjaman bank secara dalam talian, dengan sekurang-kurangnya 12 kes kerugian bank direkodkan melibatkan nilai lebih RM40,000.

Ujarnya, salah seorang suspek mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan pernah bekerja dalam sektor teknologi maklumat.

“Maklumat asal serbuan adalah berkaitan dadah, namun hasil soal siasat dan rampasan peralatan di lokasi kejadian mendedahkan modus operandi mereka dalam aktiviti pemalsuan ini.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Mereka telah membuat banyak permohonan pinjaman, namun hanya sebahagian sahaja yang diluluskan oleh pihak bank,” tambah beliau.

Kes kini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 468 dan 471 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pemalsuan serta penipuan.