Op Hawk Pahang: 1,094 ditahan sejak Januari

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman/BERNAMA

KUANTAN, 29 April – Polis Pahang berjaya menahan 1,094 individu dan menyelesaikan 902 kes berkaitan dadah melalui empat siri Op Hawk yang dilaksanakan di seluruh negeri sejak Januari hingga April tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tahanan berusia 15 hingga 77 tahun hasil 541 serbuan dan 1,127 pemeriksaan ke premis kediaman serta individu.
  • Operasi memberi tumpuan kepada kawasan FELDA dan lokasi dikenal pasti melalui aduan orang ramai menerusi talian hotline.
  • JSJN mengambil tindakan pencegahan terhadap 20 individu bawah LLPK 1985 dan menahan semula 166 orang dikehendaki.
  • Sitaan harta bernilai RM266,120 dan rampasan syabu, heroin, ganja, pil yaba serta 355.6 liter air ketum.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 15 hingga 77 tahun hasil daripada 541 serbuan dan 1,127 pemeriksaan yang dijalankan terhadap premis kediaman serta individu.

Beliau menjelaskan operasi berkenaan memberi tumpuan khusus di kawasan FELDA, serta lokasi yang dikenal pasti menerusi aduan orang ramai melalui talian hotline.

“Daripada jumlah tangkapan tersebut, sebanyak 167 kes melibatkan kesalahan bekalan, 308 kes memiliki dadah dan 619 lagi merupakan kesalahan ujian urin.

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga berjaya mengambil tindakan pencegahan terhadap 20 individu di bawah LLPK 1985 serta mengesan dan menangkap semula 166 orang dikehendaki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menerusi operasi itu, polis turut menyita harta bernilai RM266,120 yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah, selain merampas pelbagai jenis bahan terlarang termasuk syabu, heroin, ganja, pil yaba serta 355.6 liter air ketum.

Dalam perkembangan lain, Yahaya memaklumkan pihaknya masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan reman seorang pegawai kanan polis berkaitan dakwaan rasuah berjumlah RM64,000.

Beliau menegaskan Polis Pahang sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.