
KUALA LUMPUR, 29 April– Industri tempatan disaran mempercepat penggunaan teknologi baharu dan automasi bagi mengurangkan tekanan kos pengeluaran susulan krisis bekalan global yang dijangka terus memberi kesan kepada rantaian bekalan negara.
- Automasi dan teknologi baharu mengurangkan kos, mempercepat pendigitalan ekonomi serta mengekang pemindahan kos kepada pengguna.
- PMKS disaran memanfaatkan kemudahan jaminan pembiayaan RM5 bilion SJPP untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan operasi.
- Penggalakan penggunaan pengangkutan awam dan penyesuaian corak perbelanjaan sebagai langkah bersama kurangkan tekanan kos.
- Pendekatan strategik serta kerjasama semua pihak perlu untuk meminimumkan impak kenaikan kos.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid berkata langkah itu bukan sahaja mampu mengurangkan tekanan kos, malah dapat mempercepatkan pendigitalan ekonomi negara serta mengekang kenaikan harga daripada terus dipindahkan kepada pengguna.
“Maksudnya, industri perlu mula mengadaptasi teknologi baharu kerana kos pengeluaran bukan sahaja melibatkan bahan mentah, tetapi turut merangkumi kos tenaga kerja dan operasi lain,” katanya.
“Jika kita lihat semasa pandemik COVID-19 dahulu, kerajaan telah memanfaatkan situasi itu untuk mempercepatkan pendigitalan ekonomi negara. Jadi, dalam keadaan sekarang, mungkin kita boleh menggunakan peluang ini kerana kita berada dalam situasi terdesak untuk mempercepatkan lagi peralihan industri kepada automasi yang lebih maju,” katanya kepada pemberita RTM.
Tambah beliau, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) disaran memanfaatkan kemudahan jaminan pembiayaan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menambah baik kaedah pengeluaran dan operasi perniagaan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kecekapan operasi, sekali gus mengurangkan impak kenaikan kos terhadap pengguna.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penyesuaian gaya hidup rakyat sebagai langkah bersama dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Katanya, usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta penyesuaian corak perbelanjaan perlu diberi perhatian bagi membantu mengurangkan tekanan kos daripada krisis berkenaan.
“Kesannya mungkin tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Namun, dengan pendekatan strategik serta kerjasama semua pihak, impak tersebut boleh diminimumkan,” katanya.