
KUALA LUMPUR, 29 April – Liga Bolsepak Malaysia (MFL) akan meneliti secara menyeluruh pandangan dan kebimbangan disuarakan kelab dalam perbincangan meja bulat bersama-sama wakil kelab Liga Malaysia (Liga-M) di sini hari ini.
- MFL mengamalkan perbincangan berterusan untuk mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan.
- Semua maklum balas akan diteliti bersama bagi merangka pendekatan terbaik untuk kepentingan kelab.
- Peranan utama MFL bukan semata-mata keuntungan tetapi memastikan kelab kekal berdaya saing.
- Kelab suarakan masalah kewangan seperti kelewatan gaji dan meningkatnya kos operasi dipengaruhi ketegangan di Asia Barat.
Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata sesi perbincangan itu bukan perkara baharu, sebaliknya amalan berterusan pihaknya dalam mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan.
Beliau berkata semua maklum balas yang diterima akan diteliti secara bersama-sama bagi memastikan pendekatan terbaik dapat dirangka demi kepentingan semua.
“Ini bukan pertama kali. Perkara seperti ini memang selalu dibuat, cuma kita tidak buat secara langsung atau menguar-uarkan apa yang kita lakukan. Banyak perkara sebenarnya telah ditulis dan dibincangkan oleh masyarakat sebelum ini.
“Perbincangan tadi diadakan kerana liga hampir tamat dan musim baharu dijangka bermula pada Ogos. Jadi, terdapat banyak pandangan daripada kelab yang menyuarakan kesukaran masing-masing dan perkara itu telah dimaklumkan kepada MFL,” katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan itu.
Ab Ghani menegaskan peranan utama MFL sebagai pengendali liga bukan tertumpu kepada keuntungan semata-mata sebaliknya memastikan kelab terus berdaya saing dalam landskap bola sepak domestik.
“Kita ambil maklum semua pandangan tersebut supaya dapat diteliti bersama-sama. Ia bukan soal MFL untung atau kelab untung, tetapi peranan MFL sebagai pengendali liga untuk menjaga kelab agar mereka mampu terus berdaya saing,” katanya.
Perbincangan dipengerusikan Ab Ghani dan dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MFL Mustaza Ahmad, Pengarah Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Datuk Seri Mohamad Jaifuddin Bujang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC Iswandi Ali Hassan, Pengurus Besar Penang FC Jeffery Chew Gim Eam dan CEO MFL Mohd Shazli Shaik Mohd.
Hadir sama ialah 10 wakil kelab, iaitu daripada Sabah FC, Imigresen FC, Kelantan TRW, PDRM FC, DPMM FC, Selangor FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Melaka FC.
Terdahulu, perbincangan meja bulat di sebuah hotel di sini, dikejutkan dengan kehadiran pemilik JDT Tunku Mahkota Ismail ketika sesi sedang berlangsung.
Sebelum ini, beberapa kelab menggesa supaya perbincangan serius diadakan termasuk kemungkinan menganjurkan sesi meja bulat melibatkan semua pemegang taruh Liga-M, khususnya susulan situasi kewangan yang semakin membimbangkan dalam kalangan kebanyakan pasukan.
Antara isu berulang menjejaskan Liga-M ialah kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab selain cabaran peningkatan kos operasi yang diburukkan lagi oleh kesan ketegangan berterusan di Asia Barat.- BERNAMA