RM66,000 jadi rebutan di kejohanan Pickleball Ambank 2026

Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management (SCORE) Patricia Tan/ Foto RTM

SUBANG JAYA, 29 April – Kejohanan Pickleball AmBank Malaysia 2026 bakal menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM66,000 apabila edisi kedua pertandingan itu berlangsung dari 19 hingga 21 Jun ini di PLAYA Racquet Club @ PARC Subang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai hadiah meningkat berbanding edisi terdahulu menunjukkan perkembangan pesat sukan pickleball di Malaysia.
  • Sasaran penyertaan ditingkatkan kepada 600 peserta berbanding 500 tahun lalu, mencerminkan persaingan lebih tinggi.
  • Kejohanan bertujuan menyediakan platform kompetitif inklusif, menggalakkan penglibatan lebih meluas dan mempromosi gaya hidup sihat.
  • Disokong AmBank Group, ia menampilkan pemain tempatan dan antarabangsa serta kategori novis, pertengahan dan terbuka bagi beregu dan campuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan, berkata nilai hadiah meningkat berbanding RM50,000 pada edisi terdahulu, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat sukan itu di Malaysia.

“Peningkatan ini menunjukkan skala kejohanan yang lebih besar serta tahap daya saing yang semakin tinggi dengan sasaran 600 penyertaan berbanding 500 pada tahun lalu,” katanya pada majlis pelancaran kejohanan di sini hari ini.

Menurut beliau, kejohanan itu bertujuan menyediakan platform kompetitif yang inklusif serta menggalakkan penglibatan lebih meluas dalam sukan pickleball.

“Pada masa sama, ia juga mempromosikan gaya hidup sihat dan mengeratkan komuniti sukan,” katanya.

Kejohanan yang disokong penaja utama AmBank Group itu akan menampilkan penyertaan pemain dari dalam dan luar negara, termasuk Afrika Selatan, United Kingdom, Thailand, Taiwan, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Singapura.

Pertandingan akan mempertandingkan kategori novis, pertengahan dan terbuka bagi acara beregu lelaki, wanita serta campuran.