Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS, mata wang serantau

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 29 April- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS dan mata wang serantau berikutan kebimbangan mengenai minyak mentah berkurangan susulan keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi: Penganalisis kata keluarnya UAE dari OPEC kurangkan kuasa kartel, boleh tingkatkan kecekapan penentuan harga dan galakkan tenaga boleh baharu.
  • Sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat hari ini.
  • Ringgit mengukuh berbanding mata wang serantau seperti dolar Singapura, baht, rupiah dan peso selepas dagangan.

Pada masa yang sama, sentimen kekal berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Pada 6.00 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9495/9540 berbanding dolar AS daripada 3.9505/9550 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berita mengenai UAE keluar daripada OPEC bermula Mei menunjukkan bahawa kartel minyak itu mungkin terus kehilangan pengaruh dalam mengekalkan harga minyak mentah yang tinggi, terutamanya apabila krisis semasa mereda.

“Sehubungan itu, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent tidak banyak berubah hari ini.

“Ini merupakan perkembangan positif kerana sistem kartel tidak seharusnya digalakkan untuk membolehkan kuasa pasaran berfungsi dengan lebih berkesan dan cekap,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata peningkatan kecekapan dalam mekanisme penentuan harga akan memberi isyarat yang tepat kepada pemain industri, berpotensi menggalakkan peralihan ke arah tenaga boleh baharu.

Sementara itu, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dijangka mengumumkan keputusan kadar faedahnya pada akhir mesyuarat hari ini.

Pada penutup dagangan, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4709/4739 daripada 2.4756/4785 semasa ditutup pada Selasa, bagaimanapun menurun berbanding euro kepada 4.6197/6250 daripada 4.6189/6242 semalam dan berkurangan berbanding pound kepada 5.3330/3391 daripada 5.3292/3353 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0909/0946 daripada 3.0943/0983 pada Selasa, melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.0791/0980 daripada 12.1494/1685 semalam, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 227.9/228.3 daripada 229.1/229.4 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.41/6.42 daripada 6.44/6.46 sebelum ini. -BERNAMA