Serangan Israel di selatan Lubnan bunuh dua orang termasuk anggota tentera

Gambar menunjukkan kereta kebal dan kenderaan tentera Israel berada di sepanjang jalan di antara rumah-rumah yang musnah di selatan Lubnan berhampiran sempadan Israel/Foto AFP

BEIRUT, 29 April – Tentera Lubnan mengesahkan seorang anggotanya antara dua individu yang terbunuh dalam serangan Israel di selatan negara itu, meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sehari selepas itu, 11 orang, termasuk tiga anggota pertahanan awam, terbunuh dalam siri serangan di selatan Lubnan.
  • Perdana Menteri Nawaf Salam menyifatkan serangan yang membunuh petugas pertahanan awam sebagai "jenayah perang".
  • Gencatan 10 hari bermula 17 April dilanjutkan tiga minggu, namun serangan udara dan pemusnahan rumah berterusan; sejak gencatan sekurang-kurangnya 53 maut.

Menurut kenyataan tentera, seorang anggota tentera dan adiknya terbunuh apabila serangan menyasarkan mereka di Khirbet Selm, daerah Bint Jbeil ketika menaiki motosikal dalam perjalanan pulang dari pos tugas.

Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas 11 orang, termasuk tiga anggota pertahanan awam, terbunuh dalam siri serangan di selatan Lubnan, manakala dua anggota tentera turut cedera.

Perdana Menteri Nawaf Salam menyifatkan serangan yang membunuh petugas pertahanan awam sebagai “jenayah perang”.

Presiden Joseph Aoun menegaskan usaha sedang dijalankan untuk mengukuhkan gencatan senjata serta menghentikan pemusnahan rumah di kawasan selatan yang diduduki.

“Gencatan senjata 10 hari yang bermula 17 April dan dilanjutkan tiga minggu bertujuan menghentikan Israel dan Hizbullah yang disokong Iran,” katanya.

Media Lubnan melaporkan beberapa siri serangan udara Israel di selatan negara itu serta operasi pemusnahan rumah oleh tentera Israel di beberapa lokasi masih diteruskan.

Sejak gencatan senjata bermula, sekurang-kurangnya 53 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan.

Hizbullah terus mendakwa serangan terhadap sasaran Israel sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh pihak Israel.-AFP