Pembukaan cawangan baharu Agrobank Kuala Perlis beri manfaat kepada komuniti

Majlis perasmian cawangan baharu Agrobank Kuala Perlis disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KUALA PERLIS, 29 April – Pembukaan cawangan baharu Agrobank di Kuala Perlis memberi lebih banyak peluang kepada komuniti setempat untuk menikmati kemudahan pembiayaan yang inklusif, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan memperkasa potensi Kuala Perlis sebagai salah satu pintu gerbang utama Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komitmen mempertingkat pembangunan modal insan dan memberi akses sokongan kewangan untuk generasi muda.
  • Tuanku menasihat pengusaha pertanian, perikanan serta industri asas tani memanfaatkan sepenuhnya kemudahan bank.
  • Pengenalan Ar-Rahnu Agrobank sebagai projek perintis menawarkan akses tunai pantas, mudah dan patuh syariah.
  • Agrobank menyerahkan sumbangan RM161,000 kepada SMK Kuala Perlis di bawah program Pre Google for Education Reference Institution.

Langkah tersebut turut mencerminkan komitmen padu dalam mempertingkat pembangunan modal insan serta memberi akses yang lebih luas kepada sokongan kewangan yang mampu mencorakkan masa depan generasi muda agar lebih berpengetahuan, berkeupayaan tinggi serta bersedia mengharungi cabaran.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif itu perlu disokong dengan memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan, khususnya bagi pengusaha dalam bidang pertanian, perikanan serta industri asas tani yang menjadi tunjang ekonomi setempat.

Baginda bertitah kewujudan cawangan tersebut bukan sekadar penambahan fizikal, tetapi merupakan pemacu transformasi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

“Ambillah peluang untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk Ar-Rahnu Agrobank yang diperkenalkan sebagai projek perintis di Kuala Perlis.

“Kemudahan ini menyediakan akses tunai secara pantas, mudah, serta patuh syariah, sekali gus menyokong kelancaran urusan harian dan memperkukuh kestabilan ekonomi komuniti.

“Pendekatan ini mencerminkan usaha bersepadu dalam membentuk masyarakat yang celik kewangan, progresif serta berdaya tahan dalam menghadapi arus perubahan semasa”, titah Baginda ketika merasmikan cawangan Agrobank Kuala Perlis.

Pada perasmian berkenaan, Agrobank turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM161,000 kepada SMK Kuala Perlis di bawah program ‘Pre Google for Education Reference Institution’.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin serta pengurusan tertinggi Agrobank.