
SEREMBAN, 29 April- Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri Sembilan hari ini meluluskan beberapa perkara berkaitan keperluan rakyat selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus memastikan urusan pentadbiran negeri terus berjalan seperti biasa.
- Mesyuarat hanya menumpukan perkara berkaitan kepentingan rakyat, tidak membincangkan perjawatan atau perkembangan politik semasa.
- Menteri Besar menghadap Tuanku pagi dan memaklumkan hasrat meneruskan mesyuarat Exco supaya pentadbiran negeri berjalan seperti biasa.
- Kerajaan negeri mengambil pendekatan berhati-hati; setiap keputusan melalui prosedur pentadbiran sedia ada dan kebajikan rakyat terus dijaga.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata mesyuarat berkenaan hanya menumpukan kepada perkara berkaitan kepentingan rakyat tanpa menyentuh isu lain termasuk perjawatan atau perkembangan politik semasa.
“Seawal pukul 9.00 pagi, saya menghadap Tuanku dan memaklumkan hasrat untuk meneruskan mesyuarat Exco supaya pentadbiran dapat berjalan seperti sediakala.
“Mesyuarat hanya meluluskan perkara berkaitan keperluan rakyat dan Tuanku telah memperkenankannya, sekali gus membolehkan urusan pentadbiran diteruskan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Datuk Seri Aminuddin berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan berhati-hati dengan setiap keputusan perlu melalui prosedur pentadbiran sedia ada serta mendapat perkenan pihak istana.
Tambahnya sebarang perkara berkaitan kekosongan jawatan atau tindakan lanjut akan diteliti dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkenan Tuanku.
Kerajaan negeri kekal komited melaksanakan tugas harian bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.