Gangguan Selat Hormuz dorong risiko kenaikan Brent AS$20 setong

Foto hiasan/REUTERS

KUALA LUMPUR, 1 Mac -Harga minyak mentah Brent berpotensi melonjak sekitar AS$20 setong pada Isnin sekiranya tiada isyarat jelas ketegangan akan mereda
susulan serangan AS-Israel ke atas Iran, menurut firma penyelidikan tenaga Rystad Energy.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rystad Energy ramal Brent boleh naik sekitar AS$20 setong jika gangguan Selat Hormuz berlanjutan.
  • Penutupan sementara satu hingga dua minggu dijangka, tetapi kesan boleh berlanjutan kerana kesesakan dan penjadualan semula.
  • Penutupan panjang boleh picu tindak balas geopolitik serius dan campur tangan negara pemegang rizab petroleum.
  • Risiko kini beralih dari konflik terhad kepada potensi gangguan sistemik yang lebih meluas.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Analisis Geopolitiknya, Jorge Leon berkata, langkah itu bukan sahaja mencerminkan kebarangkalian gangguan susulan pergerakan kapal di Selat Hormuz terhenti, malah ketidaktentuan yang tinggi mengenai aliran maritim, dinamik tindak balas dan ketegangan politik yang meningkat.

”Jika Selat Hormuz kekal ditutup atau infrastruktur tenaga disahkan rosak, risiko kenaikan harga akan menjadi lebih tinggi.

”Bagaimanapun, senario paling berkemungkinan ialah penutupan sementara selama satu hingga dua minggu,” katanya katanya dalam nota penyelidikan.

Selat Hormuz, yang terletak di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman, merupakan satu-satunya laluan laut dari Teluk Parsi ke lautan terbuka dan merupakan antara laluan sempit paling penting dan strategik di dunia.

Kira-kira 15 juta tong minyak sehari melalui Selat Hormuz, bersamaan hampir 30 peratus perdagangan minyak mentah laut global.

Beliau menjelaskan, walaupun penutupan sementara, kesannya boleh berlarutan kerana kesesakan kapal tangki, penjadualan semula kargo dan kelewatan pelabuhan yang mengambil masa untuk pulih.

”Penutupan yang berpanjangan pula akan mengundang geopolitik yang serius dan berkemungkinan mendorong tindak balas segera daripada negara lain.

“Negara-negara yang mempunyai rizab petroleum strategik dijangka mengambil tindakan dan mengeluarkan jumlah tertentu sekiranya gangguan di selat itu berisiko berpanjangan,” katanya lagi.

Namun setakat ini, tiada tanda ketegangan akan mereda dan risiko kini beralih daripada konflik ketenteraan terhad kepada potensi gangguan sistemik yang lebih luas.