
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Pengumuman kadar dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai kekal kompetitif dan berdaya tahan meskipun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar sepanjang tahun lalu.
- Kadar dividen 6.15% dianggap kekal kompetitif dan berdaya tahan walaupun pasaran mencabar.
- Dividen masih melebihi purata inflasi jangka panjang sekitar 2.5%, memberi pulangan sebenar positif.
- Prestasi sederhana pasaran saham tempatan dan pengukuhan ringgit mempengaruhi kadar dividen.
- KWSP dijangka terus mempertingkat strategi pelaburan luar negara dan disiplin pelaburan untuk pulangan mampan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun kadar itu lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, ia masih melebihi purata inflasi jangka panjang sekitar 2.5 peratus, sekali gus memastikan pencarum menikmati pulangan sebenar yang positif.
“Secara keseluruhan, kadar dividen 6.15 peratus masih tinggi berbanding purata inflasi 2.5 peratus, membolehkan pencarum menikmati pulangan positif.
“Ini membolehkan simpanan mereka berkembang dengan lebih efektif dan membantu mencapai jumlah simpanan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata prestasi sederhana pasaran saham tempatan termasuk pergerakan FTSE Bursa Malaysia KLCI sekitar 2.3 peratus serta pengukuhan nilai ringgit antara faktor utama yang mempengaruhi kadar dividen berkenaan.
Menurutnya, pendekatan pelaburan luar negara yang strategik bukan sahaja tepat, malah berpotensi diperkukuh pada masa hadapan bagi menjana pulangan lebih mampan untuk jangka panjang.
Beliau yakin KWSP akan terus mempertingkat strategi pelaburan serta mengamalkan disiplin pelaburan yang konsisten bagi memastikan kadar dividen kekal kompetitif demi manfaat pencarum.