Malaysia perlu struktur semula ekonomi hadapi risiko geopolitik

GAMBAR HIASAN/RTM

KUALA LUMPUR, 1 Mac– Malaysia perlu menstrukturkan semula ekonominya bagi mengurangkan pendedahan terhadap risiko konflik geopolitik global yang semakin memuncak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu penstrukturan semula ekonomi dengan fokus pada pembangunan domestik untuk mengurangkan pendedahan geopolitik.
  • Memperkukuh PKS sebagai asas ekonomi untuk meningkatkan daya tahan terhadap gangguan luaran.
  • Strategi keselamatan makanan perlu diutamakan bagi mengurangkan kebergantungan import dan kesan inflasi import.
  • Memperkukuh pasaran serantau terutama ASEAN dan rakan dagang Asia untuk mengimbangi risiko gangguan global.

Pakar ekonomi dan Provost Malaysia University of Science and Technology (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, penekanan semula terhadap pembangunan domestik penting bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi kejutan luaran.

“Malaysia patut menstrukturkan semula ekonomi negara dengan memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi dalaman. Pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) boleh menjadi asas untuk memantapkan ekonomi.

“Pada masa yang sama, strategi keselamatan makanan perlu dijadikan keutamaan bagi mengurangkan pergantungan kepada import serta mengekang kesan inflasi import,” katanya kepada RTM.

Beliau menjelaskan, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang mengeksport kira-kira 80 peratus keluarannya serta mengimport sebahagian besar keperluan domestik, Malaysia terdedah kepada gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan pasaran global.

Mengulas risiko tenaga global, Dr Barjoyai berkata sebarang gangguan di Selat Hormuz berpotensi menjejaskan perdagangan minyak mentah dunia dan lonjakan harga yang ketara.

“Penutupan Selat Hormuz mungkin menjejaskan perdagangan minyak mentah dan boleh menaikkan harga sehingga melebihi AS$150 setong, malah ada yang menjangkakan sehingga AS$200 setong.

“Ini akan meningkatkan kos minyak dan tenaga serta memberi kesan kepada kos pengeluaran industri dan kos sara hidup,” katanya.

Tambah beliau, kenaikan harga tenaga bukan sahaja meningkatkan kos operasi industri, malah berisiko menekan kadar inflasi domestik melalui peningkatan kos bahan api dan logistik.

Bagaimanapun, Malaysia masih mempunyai ruang untuk mengurangkan impak krisis dengan memperkukuh pasaran serantau termasuk negara-negara ASEAN serta rakan dagang utama di Asia bagi mengimbangi risiko ketidaktentuan di kawasan konflik.