
KUALA LUMPUR, 1 Mac -Harga emas global melonjak ke paras AS$5,500 satu auns susulan serangan berterusan terhadap Iran oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, yang mendorong pelabur beralih kepada aset selamat.
- Harga emas global melonjak ke paras tinggi disebabkan serangan berterusan terhadap Iran oleh AS dan Israel.
- Pelabur beralih kepada emas sebagai aset selamat selepas kehadiran jet pejuang AS di Israel disahkan.
- Emas sering bergerak selari dengan minyak; setiap kenaikan 1% harga minyak naikkan emas sekitar 0.20-0.35%.
- Unjuran meletakkan emas antara AS$5,400 hingga AS$5,500 bergantung kepada gangguan bekalan minyak.
Menurut rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes, emas tidak menunjukkan penyusutan, malah meningkat serta merta sebaik sahaja laporan mengesahkan kehadiran jet pejuang AS di Israel.
Beliau berkata perkembangan itu menandakan perubahan naratif geopolitik daripada sekadar retorik kepada pendirian ketenteraan yang jelas, satu isyarat yang mendorong reaksi pasaran.
”Emas telah mendahului risiko peningkatan awal apabila ditutup pada paras AS$5,278.51 setiap auns.Sejarah telah menunjukkan bahawa dalam keadaan kejutan bekalan seperti penutupan Selat Hormuz atau serangan terhadap infrastruktur minyak Asia Barat, emas lazimnya bergerak seiring dengan minyak mentah.
“Kebiasaannya, emas meningkat sekitar 0.20 hingga 0.35 peratus bagi setiap kenaikan satu peratus harga minyak,” katanya.
Berdasarkan paras semasa, emas berpotensi untuk meningkat sekitar AS$125 hingga AS$220.
Ia sekali gus meletakkan paras unjuran pada julat AS$5,400 hingga AS$5,500 sekiranya harga minyak mentah terus melonjak akibat risiko gangguan bekalan yang berterusan atau kenaikan mendadak tambahan sebanyak US$10,” katanya.
Tambahnya, peningkatan emas bukan bersandarkan pertumbuhan harga minyak, sebaliknya ia bertindak balas terhadap implikasi harga minyak ke atas jangkaan inflasi, hasil sebenar dan tekanan sistemik.