Warga emas terlibat kes letupan IED Nilai meninggal dunia di HKL

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Johari Yahya/ BERNAMA

SEREMBAN, 28 Februari – Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan orang kena tuduh (OKT) berhubung kes letupan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Desa Palma Nilai, di sini disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Warga emas 63 tahun, Yeoh Hock Sun, OKT dalam kes letupan IED di Desa Palma Nilai, disahkan meninggal dunia di HKL.
  • Kematian dimaklumkan oleh anggota pengiring Penjara Kajang sekitar pukul 8.30 malam; tarikh rujukan malam tadi.
  • Punca kematian dicatatkan sebagai refractory shock akibat kecederaan dan tidak respons kepada rawatan optimum.
  • Beliau sebelum ini didakwa atas lima pertuduhan termasuk tiga di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan; sebutan kes ditangguhkan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Johari Yahya berkata pihaknya menerima makluman mengenai kematian warga emas, Yeoh Hock Sun, 63 tahun, sekitar pukul 8.30 malam daripada anggota pengiring Penjara Kajang.

Menurut beliau, tertuduh yang sedang menerima rawatan di wad HKL disahkan meninggal dunia pada pukul 8.18 malam akibat ‘refractory shock’ iaitu keadaan renjatan yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard telah diberikan secara optimum.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas lima pertuduhan termasuk tiga pertuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, berkaitan kejadian letupan IED di kawasan parkir Apartmen Desa Palma, Nilai pada Disember tahun lalu.

Siasatan mendapati tertuduh mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan akibat letupan berkenaan dan diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya oleh Ketua Polis Negeri Sembilan.

Kes sebutan semula yang dijadualkan berlangsung bulan depan kini ditangguhkan susulan kematian tertuduh.