Speedy Tigers sasar layak ke Piala Dunia walaupun beraksi di bulan Ramadan

Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (tengah) ketika sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Februari – Cabaran ketika beraksi pada bulan Ramadan bukan penghalang buat skuad hoki lelaki negara dalam misi wajib layak ke Piala Dunia menerusi pusingan kelayakan di Ismailia, Mesir, dari 1 hingga 8 Mac ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran jelas mara ke final kelayakan dan layak automatik ke Piala Dunia.
  • Pasukan kini dalam tahap terbaik selepas jelajah Australia dengan kecergasan dan keserasian meningkat.
  • Benteng pertahanan lebih kukuh tetapi penyudah perlu dipertajam untuk manfaat setiap peluang.
  • Persiapan berpuasa termasuk program pemakanan dan hidrasi khas telah dirancang awal.

Ketua jurulatihnya, Sarjit Singh menegaskan sasaran pasukan jelas untuk mara ke final bagi memastikan tiket automatik ke pentas Piala Dunia.

Menurut beliau skuad Speedy Tigers kini berada pada tahap terbaik selepas siri jelajah Australia dan menunjukkan perkembangan positif dari segi kecergasan serta keserasian pasukan.

“Pemain-pemain telah memberikan komitmen tinggi dan menjalani latihan intensif. Mereka faham betapa pentingnya Piala Dunia ini. Pasukan kini berada dalam keadaan baik selepas jelajah Australia dan saya percaya kita mampu melayakkan diri ke Piala Dunia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sarjit turut mengakui benteng pertahanan semakin kukuh, namun aspek penyudah masih perlu dipertajamkan.

“Kami banyak meningkat dari segi pertahanan dan benteng kini lebih kukuh. Namun kami perlu memanfaatkan setiap peluang. Apabila mendapat kesempatan menjaringkan gol, kami perlu belajar menamatkan permainan seawal mungkin,” jelasnya.

Sementara itu pengurus pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata persiapan menghadapi cabaran beraksi ketika berpuasa sudah dirancang lebih awal menerusi program pemakanan dan hidrasi khusus.

“Jurulatih Sarjit bersama barisan kejurulatihan telah menyediakan program khas bagi memastikan pemain kekal terhidrasi dan menjaga pemakanan dengan baik. Persiapan ini sudah dimulakan sejak bulan lalu supaya pasukan dapat beraksi pada tahap terbaik di Mesir tahun ini,” katanya.

Pasukan Speedy Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China dan Austria.

Skuad negara membuka kempen menentang Austria pada 1 Mac, diikuti Pakistan keesokan hari sebelum menutup aksi kumpulan bertemu China pada 4 Mac.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir, dengan final menjadi penentu tiket ke Piala Dunia.