Sekurang-kurangnya 31 maut dalam letupan di tempat ibadah di ibu negara Pakistan

Sekurang-kurangnya 31 maut dalam letupan di tempat ibadah di Islamabad./REUTERS

ISLAMABAD, 6 Februari – Angka kematian akibat letupan di sebuah tempat ibadah di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada Jumaat meningkat kepada 31 orang, menurut pegawai tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan berlaku di masjid kawasan Shehzad Town, Islamabad.
  • Polis dan pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian.
  • Keadaan darurat diisytiharkan di semua hospital utama ibu negara.
  • Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab setakat ini.

Letupan itu berlaku di sebuah Imambargah, tempat ibadah bagi penganut Syiah, yang terletak di kawasan Shehzad Town, Islamabad.

Satu kenyataan oleh pentadbiran daerah Islamabad di platform media sosial X, yang kemudiannya dipadam, mengesahkan jumlah kematian setakat ini adalah 31 orang manakala 169 yang lain cedera. Angka ini turut dilaporkan oleh beberapa media tempatan.

Sebelum ini, pentadbiran daerah memaklumkan yang keadaan kecemasan diisytiharkan di hospital apabila operasi menyelamat dimulakan dan lokasi letupan telah dikawal sepenuhnya.

Rakaman video menunjukkan ramai mangsa terbaring di tanah selepas letupan itu.

Menurut laporan Geo News, seorang pengebom meletupkan dirinya ketika cuba dihentikan di pintu masuk tempat ibadah di pinggir ibu negara Pakistan itu.-BERNAMA