
SERDANG, 31 Januari – Pembangunan sukan besbol negara terus diperkasa menerusi Program Klinik Besbol bersama Universiti Kokugakuin, Jepun, yang berjaya menarik penyertaan 30 pemain muda dari seluruh negara.
- Program Klinik Besbol bersama Universiti Kokugakuin Jepun memfokuskan pendedahan kemahiran asas dan disiplin tinggi mengikut budaya besbol Jepun.
- Program melibatkan kategori U12 dan U14, dengan penyertaan 30 pemain muda dari seluruh negara.
- BFM utamakan pembangunan akar umbi bagi U12, U14 dan U16 serta merangka beberapa program sepanjang tahun.
- Perancangan perkenalkan kategori U10; U16 ke PONY Asia Pasifik Jakarta dan jemputan rasmi untuk pasukan U10 ke Jepun.
Program sehari itu melibatkan dua kategori umur, iaitu Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 14 Tahun (U14), dengan fokus kepada pendedahan kemahiran asas, teknik permainan serta penekanan terhadap disiplin tinggi, selari dengan budaya besbol Jepun.
Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Sazali Husain, berkata sambutan menggalakkan diterima walaupun program diadakan ketika tempoh cuti panjang.
“Penyertaan seramai 30 pemain dianggap satu pencapaian yang baik dan diyakini dapat membantu pasukan masing-masing dalam Kejohanan Kebangsaan tahun ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, BFM terus memberi keutamaan kepada pembangunan akar umbi, khususnya bagi kategori U12, U14 dan U16, dengan beberapa program telah dirangka sepanjang tahun ini.
Dalam perkembangan baharu, Sazali turut memaklumkan bahawa kategori Bawah 10 Tahun (U10) akan diperkenalkan buat julung kalinya di Malaysia bagi memenuhi permintaan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa.
Selain itu, pasukan U16 dijadual menyertai Kejohanan Besbol PONY Asia Pasifik di Jakarta, manakala pasukan U10 menerima jemputan rasmi ke Jepun.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Universiti Kokugakuin, Toriyama, menyifatkan Malaysia sebagai lokasi sesuai untuk pembangunan besbol jangka panjang.
“Besbol di Malaysia masih dalam fasa pembangunan dan ini membuka peluang besar untuk membentuk bakat baharu. Persekitaran di sini juga sangat baik untuk latihan,” katanya.