
KUALA LUMPUR, 30 Januari – Penganjuran BASE Jump Challenge 2026 bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini berjaya menarik penyertaan seramai 54 peserta dari 19 negara, termasuk wakil tempatan.
- Menarik 54 peserta dari 19 negara, mempromosikan Kuala Lumpur dan pelancongan Malaysia.
- Acara sukan ekstrem menyemarakkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan tarik minat komuniti penggemar.
- Perancangan menjadikan Cabaran BASE Jump acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar rasmi sambutan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosioekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Parang Abai @ Thomas, berkata penganjuran acara sukan ekstrem itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan, malah selari dengan usaha mempromosikan pelancongan negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut beliau, setiap acara sukan ekstrem mempunyai komuniti dan pengikut tersendiri, sekali gus berpotensi menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kami percaya melalui penganjuran program seperti ini, ia mampu menarik lebih ramai pelancong kerana setiap sukan ekstrem mempunyai penggemar dan pemainnya sendiri.
“Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk mempromosikan Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, di peringkat antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Program TAMU Hotel & Suites BASE Jump Challenge 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, para peserta antarabangsa yang mengambil bahagian dijangka menjadi duta kecil pelancongan negara apabila berkongsi pengalaman mereka bersama rakan dan komuniti sukan masing-masing selepas pulang ke negara asal.
“Kami yakin pada masa akan datang, lebih ramai peserta dari pelbagai negara akan hadir menyertai program ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Parang memaklumkan pihaknya turut merancang untuk menjadikan Cabaran BASE Jump sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar rasmi sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada masa hadapan.
BASE Jump Challenge 2026 berlangsung bermula hari ini hingga 2 Februari.