PM gesa birokrasi lama tidak halang pembangunan AI negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa birokrasi lama tidak menjadi penghalang kepada usaha negara mempercepat pembangunan kecerdasan buatan (AI), terutama dalam sektor pendidikan tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem pendidikan tinggi mesti bertindak segera selari dengan perkembangan teknologi yang pantas.
  • Percepatan penubuhan fakulti AI berjaya; beberapa diwujudkan dalam tiga bulan berbanding proses biasa setahun.
  • Negara tidak boleh menunggu rombakan penuh sistem dan kurikulum sebelum perkenalkan bidang teknologi baharu.
  • MOSTI digesa terus meneroka pendekatan baharu untuk mempercepat pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara.

Beliau berkata, perkembangan teknologi yang pantas menuntut sistem pendidikan bertindak segera, termasuk mempercepatkan penubuhan fakulti baharu berkaitan AI.

Katanya, beberapa fakulti AI berjaya diwujudkan dalam tempoh tiga bulan selepas kerajaan memberi penekanan terhadap bidang itu, berbanding proses biasa yang boleh mengambil masa sehingga setahun.

“Kalau ikut pendekatan lama, penubuhan satu fakulti, kemudian bawa kepada jabatan, senat, majlis, ‘board of studies’ dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Jadi, proses itu boleh mengambil masa sehingga setahun.

“Tetapi bila kita beri penekanan ini saya lihat beberapa fakulti AI itu diwujudkan dalam masa tiga bulan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian National Innovation and Commercialization Expo (NICE) 2026, hari ini.

Jelas Perdana Menteri, pendekatan pantas itu amat penting khususnya dalam bidang inovasi dan pengkomersialan kerana negara tidak boleh lagi bergerak mengikut prosedur birokrasi lama.

“Mana boleh kita ikut birokrasi lama, tak mungkin,” katanya.

Beliau berkata, negara juga tidak boleh menunggu keseluruhan sistem dan kurikulum pendidikan dirombak sebelum memperkenalkan bidang teknologi baharu seperti AI dan pengkomputeran kuantum.

Perdana Menteri turut menggesa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus meneroka pendekatan baharu bagi mempercepat pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.